Tidak dapat dinafikan, nasi bujang adalah menu yang sederhana tetapi punya momen yang berharga bagi sesetengah orang. Ia adalah menu yang menyelamatkan ketika seseorang ingin berjimat ataupun kekurangan wang bagi menyuap nasi ke mulut.
Tetapi tidak boleh disanggah, nasi bujang juga dinikmati bagi orang yang memang ingin memakannya, bukan sebab faktor di atas. Ia makanan yang mengenyangkan sekaligus murah dengan menyajikan nasi putih, telur, sambal belacan dan juga sup kosong.
Menyebut perihal nasi bujang, satu hantaran oleh seorang pengguna Facebook di laman Masak Apa Hari Ni mendapat perhatian netizen apabila dia berkongsi tentang kisahnya yang bersangkut paut dengan nasi bujang.
Dia menceritakan situasi di kedai makanannya apabila menu nasi bujang menjadi makanan paling laku dan banyak dipesan orang-orang apabila berada di tengah bulan terutamanya. Walaupun nama menu itu nasi bujang, pelanggan terdiri tidak mengira status bujang atau berkeluarga, kebanyakan mereka akan memesan menu berkenaan.
Ceritanya, “Dik, nasi bujang ada ke?” Tanya seorang pelanggan, wanita dalam lingkungan 40-an. Saya melihat dia datang bersama suami dan 3 orang anak. Anak-anak kecil lagi.
“Hidangan ini paling menjadi permintaan di tengah-tengah bulan. Tak kira yang masih bujang atau yang dah berkeluarga.
“Kita letak juga daging atau isi ayam di dalam kuah sup tu. Telur dadar tu pun kita besarkan sedikit melebih kuantiti nasi. Tak sampai hati tengok si ayah dan si ibu berkongsi 2 pinggan nasi ni dengan anak-anak.
“Kita faham sangat sebab kita dulu pun datang dari keluarga susah. Moga jadi pedoman,” ceritanya dalam hantaran berkenaan kisah nasi bujang menu paling laris.
Meninjau komen orang ramai, rata-rata netizen juga menceritakan bagaimana nasi bujang menyelamatkan hidup mereka. Dan, ramai yang mendoakan perniagaan wanita terbabit kerana berkongsi rezeki dengan yang memerlukan.
“Peniaga yang suka bersedekah kita perlu support. Melalui support kita, beliau dapat membantu orang yang memerlukan. Semoga sentiasa murah rezeki,” kata salah seorang netizen.
Melalui perkongsian nasi bujang menu paling laris ini, semoga kita semua saling membantu di antara satu sama lain. Sekecil-kecil kebaikan adalah manfaat dan keberkahan kepada yang memerlukan.
Kisah nasi bujang ini memang nampak ringkas, tapi hal sederhana boleh jadi hal yang besar buat orang lain.
Sumber: Syahiran Hilmin
Baca juga: Dato’ Ismail Sabri Dakwa Kenyataan Makcik Goreng Pisang Diputarbelit, Ini Penjelasan Sebenar