Orang Malaysia memang terkenal dengan sikap baik hati dan rajin membantu golongan yang memerlukan.
Seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, seorang pak guard hospital mendapat pujian netizen atas tindakan baiknya terhadap seorang pesakit warga emas.
Video yang dimuatnaik di TikTok Penang Kini menunjukkan seorang pengawal keselamatan berbangsa India yang bekerja di Hospital Pulau Pinang menyuapkan makanan kepada pesakit lanjut usia.
Dalam video berdurasi 12 saat itu, pengawal keselamatan yang dikenali sebagai Sri Subra didapati menyuapkan makanan dengan cukup berhati-hati kepada pesakit tersebut.
“Pak guard berhati mulia. Menyuapkan makanan kepada warga emas yang tidak di temani sesiapa pun. Terbaik Pak guard bernama Sri Subra Di GH Penang,” coret Penang Kini dalam hantaran video tersebut.
https://www.tiktok.com/@penang_kini/video/7104195661104418075?_t=8SnIG5kjCGP&_r=1
Kisah mengenai pak guard ini jadi bualan hangat di kalangan netizen apabila ia turut tular di laman Facebook Penang Kini. Rata-rata, ramai warganet yang memuji kebaikan pak guard ini.
Netizen juga memuji sikap ringan tulang pak guard ini dalam membantu tanpa mengira agama dan bangsa. Memang terserlah semangat 1 Malaysia!
Netizen yang pernah terserempak dengan pak guard ini ketika berkunjung ke Hospital Pulau Pinang juga sempat menceritakan pengalaman masing-masing. Memang betul-betul baik orangnya. Sentiasa bersedia untuk membantu dan murah dengan senyuman.
Dalam pada itu, ramai netizen yang mendoakan agar pak guard hospital ini dimurahkan rezeki dan sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
Kisah pak guard ini boleh menjadi bukti bahawa kita tak perlu bersusah untuk lakukan kebaikan. Walaupun pertolongan kita kecil, namun ia boleh memberi makna yang besar buat orang yang menerimanya.
Sememangnya menyentuh hati bila melihatkan pak guard ini yang sanggup meluangkan masa untuk memastikan pesakit dan pengunjung dibantu ketika di hospital. Semoga kisah pak guard ini boleh menjadi inspirasi kepada semua untuk sentiasa berbuat baik sesama kita tanpa mengira agama dan bangsa.
Sumber : Facebook & TikTok Penang Kini