Memang tak dinafikan, ramai yang cukup terkesan dengan kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini. Antara barangan dapur yang menjadi pertikaian warganet adalah minyak masak 5 kg yang didapati terjual mencecah RM 40.
Disebabkan nak berjimat, pastinya ramai yang pilih langkah untuk gunakan minyak berkali-kali semasa menggoreng.
Namun, cara ini bukanlah langkah yang terbaik untuk kesihatan keluarga kerana ia boleh mengundang kepada kesan sampingan yang ramai tak tahu.
Nak tahu kesan sampingan apa yang boleh terjadi akibat ulang guna minyak masak? Jom kita baca perkongsian dari Rafsanjani Zainal, seorang pakar pemakanan yang berpengalaman.
Menurut pakar pemakanan ini, minyak masak akan keluarkan sisa aldehyde setiap kali kita gunakan untuk menggoreng.
Apabila kita goreng makanan menggunakan minyak masak yang sama, lebih banyak sisa aldehyde yang terhasil.
“Sisa aldehyde ni bertoksik tau! Bahan toksik yang boleh menyebabkan kanser”, tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Jadi, dia menasihatkan orang ramai untuk menggunakan minyak masak secara maksimum tiga kali sahaja.
Ada juga sesetengah pengguna yang berkongsi cara recycle minyak gorengan seperti menggunakan tepung ubi dan sebagainya.
Menurut Rafsanjani Zainal, dia tak menyarankan orang ramai untuk ikuti petua ‘cuci’ minyak masak seperti yang dikongsikan beberapa pengguna di media sosial.
Jelasnya lagi, sejernih mana sekalipun minyak masak yang telah ‘dicuci’, toksik aldehyde masih ada!
Jadi, petua yang dikongsikan tak akan menjamin kualiti minyak masak yang digunakan walaupun dilihat masih elok dan tidak keruh selepas dicuci.
Di samping itu, pakar ini turut mensarankan kepada orang ramai untuk menggunakan kaedah masakan alternatif tanpa minyak seperti rebus, stim, panggang atau air fryer untuk jimatkan penggunaan minyak masak.
Kaedah masakan ini juga tentunya lebih berkhasiat untuk dinikmati seisi keluarga kerana kurang berminyak.
Selain mengulang guna minyak masak, sebenarnya ada banyak lagi cara yang pernah kita kongsikan untuk jimatkan penggunaan minyak atas saranan doktor. Cara ini jelas lebih selamat dan baik untuk mengekalkan nutrisi hidangan yang dihasilkan.
Tak sangka pula minyak masak yang sudah ‘dicuci’ tak elok untuk digunakan. Ingatkan dah tak keruh, kualitinya sama macam minyak masak baru, rupanya tidak!
Jadi, untuk para ibu di luar sana, elakkan ‘cuci’ minyak masak. Sebaliknya, gunakanlah cara untuk jimatkan minyak dengan lebih bijak dan pilihlah gaya pemakanan yang lebih sihat dan kurang berminyak. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua!
Sumber : Rafsanjani Zainal