Restoran Nasi Kandar sememangnya ‘berhantu’ lebih-lebih lagi kepada orang yang menggemarinya. Secara faktanya, Nasi Kandar ini popular kerana kesedapan nasi yang digabungkan bersama campuran kuah kari yang pekat melikat dan lauk pauk yang enak.
Kuahnya yang banjir bersama aromanya yang wangi menambahkan lagi kelazatan rasanya. Tetapi dalam masa yang sama, apa yang menyedihkan, umum mengetahui bahawa perniagaan Nasi Kandar memang berhadapan dengan kekurangan pekerja menyebabkan ada kedai Nasi Kandar tutup.
Terbaharu, sebuah restoran Nasi Kandar di Kelantan kesal dengan sikap salah seorang pelanggannya yang memberi komen jelik. Ini kerana ketika pelanggan tersebut mengunjungi restoran Nasi kandar berkenaan, operasi perniagaan N.Iman Nasi Kandar Melayu tutup.
Menerusi paparan komen jelik berkenaan, pelanggan itu mengadu bahawa dia sanggup berkunjung ke Kelantan daripada Kuala Lumpur semata-mata ingin makan di kedai N.Iman Nasi Kandar Melayu berkenaan.
Tetapi, setibanya dia di sana kedai Nasi Kandar tutup dan hal itu amat mengecewakan dirinya.
Pelanggan yang berang itu sampai berkata, “ini lah Melayu, bila meniaga ada untung sikit je, kira nak cuti kerap la. Patut lah sesedap mana pun Melayu ni tak kan maju sebab masih ada perangai macam tu,” tulisnya.
Membalas reaksi komen berkenaan, N.Iman Nasi Kandar Melayu tampil menjelaskan keadaan sebenar. Kedainya terpaksa ditutup buat sementara waktu oleh kerana berdepan masalah kekurangan pekerja.
Katanya, “ini adalah salah satu sebab kenapa kami taknak update jika kami cuti, tak tahan kadang kena maki. Kami sebenarnya sedang berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.
“Kebetulan dua tiga hari ini, ada job tempahan katering untuk majlis perkahwinan dan disebabkan kekurangan pekerja, kami perlu pinjamkan team kedai kepada team Tok Suri Catering & Food Service selama dua tiga hari sehingga job selesai,” jelasanya dalam hantaran terbabit.
Tambahnya lagi, pihaknya bukan mengambil keputusan yang semberono untuk bercuti lantas menutup kedai. Ini kerana, mereka ingin mengelakkan gangguan servis kedai yang lambat kerana kekurangan pekerja.
“Bukan kami suka-suka nak cuti, daripada bising-bising kena marah dan komplen dengan pelanggan dekat kedai berkenaan servis, lebih baik kami cuti beberapa hari,” tambahnya lagi.
Meninjau kepada ruangan komen, ramai netizen memberi kata-kata semangat kepada peniaga terbabit dan sebolehnya menghiraukan mana-mana pelanggan yang bersikap sedemikian.
Mengambil salah satu komen, Miziey G-iklan berkata, “kadang-kadang bos kena buatkan mesej ni pembakar semangat bos. Nak bagitahu tanda pelanggan bos ramai yang suka Nasi Kandar bos. Saya pun pernah kena macam ni…,” jelasnya di ruangan komen berkenaan isu Nasi Kandar tutup ini.
Sehubungan dengan ini, sebagai seorang pelanggan sekaligus manusia yang mempunyai logik akal, lepaskanlah kata-kata yang elok. Fikir dahulu sebelum mengungkapkan sesuatu dan tengoklah kepada situasi.
Sumber: N.Iman Nasi Kandar Melayu