Diabetes merupakan salah satu penyakit kronik yang dihidapi oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Tidak dinafikan juga, ramai rakyat Malaysia yang turut menghidapi penyakit ini. Makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seakan satu hidangan wajib dalam masyarakat Melayu.
Boleh dikatakan sesi makan tidak lengkap sekiranya tanpa pencuci mulut seperti kuih-muih atau makanan sampingan lain. Dalam situasi di penuhi dengan kemeriahan makanan, kini kadang-kadang menjadi leka dan hanya makan tanpa memikirkan kandungan gula yang diambil.
Bukan bermaksud kita tidak boleh mengambil makanan yang bergula, tetapi harus mengambilnya dalam kuantiti yang terkawal. Kandungan gula yang berlebih dalam badan akan mengakibatkan kandungan gula tersebut tidak dapat dikawal oleh badan.
Kandungan makanan yang tinggi kandungan gula, bergoreng, kadar kolestrol yang tinggi, kandungan lemak trans yang tinggi dan makanan yang mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi harus dikurangkan bagi mencegah dari mudah menghidap diabetes.
Nasi sememangnya sudah menjadi salah satu makanan wajib bagi kita rakyat Malaysia. Ini bukan bermakna anda tidak boleh makan nasi, tetapi kandungannya harus terkawal. Sebaiknya kurangkan kandungan nasi yang diambil oleh anda setiap hari.
Kekerapan anda makan nasi juga harus dikurangkan dari 3 kali sehari kepada 2 kali sehari dan seterusnya kepada 1 kali sehari. Anda boleh menggantikan nasi dengan roti yang tinggi serat. Pada permulaannya mungkin anda akan agak kekok tetapi lama kelamaan akan menjadi rutin harian anda.
Kalau sebut tentang minuman berkarbonat, semua akan tahu minuman ini mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi. Kandungan gula yag tersembunyi di dalam minuman berkarbonat sangat-sangat berbahaya kepada kesihatan kita.
Bagi anda yang penggemar minuman berkabonat yang boleh dikatakan tidak lengkap seharian tanpa minuman ini sepatutnya menukarkan minuman berkabonat kepada air kosong. Namun disebabkan air kosong yang tidak memberi sebarang rasa kepada kita, ia amat sukar untuk dijadikan sebagai minuman rutin harian.
Untuk meningkatkan motivasi diri supaya meminum air kosong, anda boleh menambahkan hirisan epal, strawberi, kurma, limau nipis dan lemon ke dalam minuman, Tetapi ingat, jangan campurkan gula. Hanya hirisan buah-buahan je tau. Sekadar untuk menambahkan rasa dalam air kosong tersebut.
Pengambilan buah-buahan segar amat disarankan untuk menggantikan snek yang mengndungi kandungan gula yang tidak baik kepada kesihatan. Kandungan gula di dalam buah-buahan juga sangat mudah untuk dirungkaikan oleh sistem pencernaan badan.
Selain mempunyai kandungan gula yang baik, buah-buahan turut dapat membekalkan nutrisi-nutrisi baik yang lain untuk badan kita. Namun harus juga ingat, buah-buahan juga manis dan harus di ambil secara terkawal.
Pengambilan makanan yang bergoreng secara tidak terkawal akan meningkatkan kandungan kolestrol di dalam badan seseorang individu itu. Pada kebiasaannya, makanan yang bergoreng dimasak menggunakan minyak yang terhodrigenasi yang menyumbang kepada kadar lemak yang tinggi dan berbahaya.
Anda boleh menukarkan makanan yang bergoreng dengan mengambil lebih makanan yang direbus atau dikukus sebagai hidangan anda. Makanan yang direbus atau dikukus ini juga sangat sesuai bagi anda yang dalam proses menurunkan berat badan dan dapat mengurangkan risiko diabetes.
Lemak trans kebiasaannya akan didapati di dalam bahan makanan seperti marjerin, makanan yang dipanggang dan juga bahan makanan yang diawet. Kandungan lemak trans yang berlebihan di dalam badan akan meningkatkan risiko pembuluh darah mengalami kerosakan. Kerosakan pembuluh darah ini akan mengurangkan kandungan darah yang baik untuk tubuh badan kita seterusnya meningkatkan risiko mudah mendapat penyakit.
Dalam menjamin kesihatan tubuh badan kita, kita harus sentiasa berdisiplin dan sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan. Pemakanan yang seimbang dan sangat harus dititikberatkan bagi menjamin kesihatan yang utuh. Namun sesekali anda juga memerlukan ‘cheat day’ untuk makan makanan kegemaran anda.