Betul apa orang cakap, cinta itu tidak mengenal usia. Ramai yang mendirikan rumahtangga dan mampu hidup bahagia walaupun jarak usia antara keduanya jauh. Ada yang mempunyai pasangan lelaki yang lebih muda dan ada juga yang mempunyai pasangan wanita yang lebih tua.
Ramai sahaja yang bahagia dan kekal walaupun berkahwin dengan pasangan yang mempunyai jarak usia yang sangat jauh. Rasanya hal tersebut tidak menjadi masalah selagi mana masing-masing bersikap matang dalam hubungan.
Jarak usia belasan tahun bukan menjadi masalah besar yang boleh menggugat keamanan rumahtangga. Ramai sahaja yang memilih untuk berkahwin dan menerima pasangan dengan jarak usia yang jauh.
Seperti mana hubungan yang terjalin antara pemilik kedai roti canai janda yang pernah viral sewaktu ketika dahulu kerana jualannya sangat laris, iaitu Norasiah Abdul Rahman yang berumur 48 tahun. Setelah 15 tahun menjanda, Norasiah akhirnya dipinang oleh jejaka yang berusia 29 tahun.
Walaupun jarak usia lebih kurang 19 tahun, pemilik kedai roti canai janda dari Kampung Baru Derang, Pokok Sena ini dapat menerimanya setelah lelaki yang dikenali dengan nama Adam Affendi itu dilihat jujur dan bersungguh-sungguh untuk berkahwin dan bukan sekadar main-main.
“Kami kenal pun beberapa bulan sahaja dan selepas itu dia terus ajak saya kahwin” beritahu Norasiah menerusi Kosmo.
Pertunangan yang diadakan selepas Hari Raya Haji itu dilangsungkan setelah lelaki berkenaan dikenali menerusi aplikasi TikTok. Anak sulungnya yang membantu Norasiah berniaga turut merestui perkahwinan antara ibunya dengan duda anak satu itu bakal berlansung pada bulan Oktober depan.
Sempat ditanya oleh Kosmo, apakah mereka akan menukar nama kedai makan miliknya kerana status janda, namun Norasiah menjawab, perkara tersebut masih dalam perbincangan mereka. “Mungkin tukar jadi kedai Roti Canai Kahwin atau kekal sahaja sebab anak saya (nurul Nadia) masih janda”.
Sekadar makluman, kedai Roti Canai Janda milik Norasiah ini pernah menghebohkan seluruh Malaysia. Ramai yang berpusu-pusu mengunjungi kedainya. Seawal jam 9 pagi roti canai sudah habis terjual.
Menurut rekod yang lepas, setiap hari Norasiah menguli sebanyak 14 kilogram tepung gandum. Namun sejak ianya viral, beliau terpaksa menambah tepung gandum untuk diuli bagi tidak mengecewakan pelanggan.
Walaupun suatu ketika dahulu Norasiah pernah berasa kecewa dengan segelintir masyarakat yang membuat pelbagai persepsi apabila beliau menamakan restorannya itu dengan perkataan ‘janda’. Bukan itu sahaja, Norasiah juga sering berdepan dengan usikan pelanggan lelaki.
Hanya niat untuk mencari rezeki yang halal bagi menyara kehidupannya sekeluarga, pemilik kedai roti canai berkenaan tidak mengendahkannya dan akhirnya dia berjaya membuka mata semua bahawa seorang janda juga mampu berjaya.
Didoakan semoga pemilik roti canai janda dan pasangan dipermudahkan segala urusan seterusnya. Didoakan juga semoga perkahwinan yang bakal dibina nanti bahagia serta kekal selamanya.
Sumber: Kosmo
Baca juga: Roti Canai Janda Semakin Laris Dan Viral, Pukul 9 Pagi Dah Habis, Rupa-Rupa Ini Sebabnya..