Sekarang, gempar dengan perdebatan mengenai kos peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang hanya memperuntukkan kos kecil untuk per kepala. Dilaporkan media, kos RMT per kepala hanya memperuntukkan sebanyak RM2.50.
Hal itu mengakibatkan kualiti RMT terjejas jika diselaputi oleh faktor nutrisi makanan untuk dibekalkan kepada murid-murid. Terbaharu, merujuk Free Malaysia Today hari ni, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM4.50 bagi Semenanjung dan RM5 untuk Sabah dan Sarawak.
Ini ditambah dengan susulan kos bahan mentah yang semakin meningkat. Presidennya, Khairuddin Hamzah berkata, dengan kadar RM4.50, pengusaha boleh mengekalkan menu sihat seperti ditetapkan kerajaan ketika itu. Ia adalah nasi berlauk ayam, sayur bersama sepotong buah dan air Milo.
“Dengan peruntukan RM2.50 bagi seorang murid ketika ini, penguasaha kantin hanya mampu sediakan nasi goreng, mi dan bihun goreng bersama sepotong buah dan air seperti teh. Sudah pasti ia tidak menepati garis panduan menu sihat yang ditetapkan,” katanya kepada FMT.
Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak semula peruntukan bagi program bantuan makanan itu.
Ini dengan menaikkan kadar RMT kepada RM4 bagi Semenanjung dan RM5 untuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, semakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM) di sekolah seluruh negara mendapati hanya 61% mematuhi kriteria menu sihat yang ditetapkan.
RMT dilaksanakan sejak 1979 sebagai makanan tambahan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi memperbaiki kesihatan, fizikal dan amalam pemakanan mereka.
Khairuddin berkata, cadangan Khairy menaikkan kadar RMT kepada RM4 bagi Semenanjung hanya cukup menampung modal kos makanan dan pengurusan, tanpa sebarang keuntungan diperolehi pengusaha kantin, terutamanya bagi sekolah di kawasan luar bandar.
“Mungkin ada pengusaha yang untung sedikit, tetapi secara keselurahan dengan mengambil contoh kawasan pedalaman seperti Jeli dan Gerik yang jauh dari pusat bekalan bahan mentah, kos itu tetap hanya cukup untuk menampung modal sahaja,” katanya menggesa kadar RMT dinaikkan.
Beliau berharap KPM dan KKM dapat melibatkan persatuan pengusaha kantin dalam menentukan menu makanan dan kadar untuk RMT.
Ia supaya kerajaan mendapat gambaran sebenar serta masalah yang dihadapi pengusaha.
“KPM, KKM dan pengusaha kantin perlu duduk semeja membincangkan menu dan harga. Sepatutnya kami dilibatkan secara langsung untuk mendapat gambaran sebenar dalam usaha untuk menyediakan menu sihat kepada murid.
“Perbincangan perlu dibuat untuk mendapatkan keputusan terbaik memandangkan ada pelbagai menu ditetapkan KPM, ada yang tidak sesuai lagi dan perlu dikeluarkan, contohnya menu ikan tenggiri dan ikan merah sejak 2015 tidak lagi sesuai dengan peruntukan ada.
Secara konklusinya untuk isu kadar RMT dinaikkan, diharapkan ada jalan penyelesaian yang segera untuk isu ini suapaya anak-anak dapat menikmati makanan yang sihat untuk berlajar.
Sumber: Free Malaysia Today