Dalam krisis ekonomi dan bekalan makanan yang sentiasa tidak mencukupi, hal ini menyumbang kepada faktor kenaikan harga bahan mentah secara mendadak. Antara bahan mentah yang hangat diperkatakan adalah harga ayam, tepung, minyak masak dan bahan mentah yang berkaitan.
Biasanya, bagi peniaga yang berniaga dalam industri makanan, apabila harga bahan mentah naik mendadak, harga jualan juga turut menaik. Ini kerana, kos pengeluaran modal dan jumlah untung tidak setara dan tidak mencukupi.
Tetapi, hal ini berbeza dengan seorang pengusaha kedai makan di Bachok, Kelantan. Dia berdegil tidak mahu naikkan harga disebabkan kasihan akan pelanggan. Katanya, dia tidak mahu bebankan pelanggan dengan harga makanan yang tinggi lebih-lebih lagi sekarang ramai sedang menghadapi keadaan yang susah.
“Sambil-sambil sedekah, In Sya Allah rezeki kot lain ada lagi,” jelasnya menerusi satu perkongsian video oleh @haizumhasan dalam laman TikTok.
Menerusi perkongsian berkenaan, antara senarai harga makanan yang dikekalkan adalah sup tulang yang berharga RM5, telur dadar RM1, nasi+sup+telur RM7, mi goreng dan mi sup RM3, kuey teow kungfu RM6 dan kuey teow seafood dengan harga RM7.
@haizumhasan Aq pun confuse, tang mana untung tak tahu..#makan #masakanpanas #murah #sedap #kelate
@haizumhasan Aq pun confuse, tang mana untung tak tahu..#makan #masakanpanas #murah #sedap #kelate ♬ Che La Luna – Louis Prima
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen bersependapat yang harga dijual oleh pengusaha kedai makan berkenaan tidak masuk akal. Tambah netizen, mereka mempersoalkan di mana untungnya jika harga bahan mentah sudah naik tetapi pengusaha kedai makan tidak naikkan harga dan masih mengekalkan harga jualan.
Misalnya, mengambil komen salah seorang netizen @amand, dia berkata “Ya Allah takutnya tengok harga. Akak naikkan harga tau!! Semoga Allah luaskan pintu rezeki mu,”jelasnya dalam komen video tersebut.
Selain itu, @erinerina451 juga berkata, “Kak naikkan sikit kak. Takut pula tengok harga murah sangat. Tapi kalau akak naikkan atau tak naikkan, saya tetap doakan murah rezeki akak selalu. Amin,” tulisnya.
Mungkin ada yang menyuruh pengusaha kedai makan menaikkan harga sedikit kerana kasihan kepada pengusaha terbabit. Di mana dalam ekonomi sekarang, untuk membayar bil-bil dan keperluan hidup lain agak sulit. Selain itu, kos pekerja dan tenaga yang dikeluarkan juga menjadi faktor.
Tetapi nak buat macam mana, katanya ingin bersedekah sambil berniaga. Semoga dimurahkan rezeki untuknya.
Sumber: haizumhasan