Harga bahan mentah dilihat semakin naik dari hari ke hari. Oleh itu, peniaga makanan terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos jualan dan pulangan mereka.
Ini dapat dilihat apabila jualan makanan pada bulan Ramadan semakin meningkat hingga menjadi bualan masyarakat.
Tetapi berbeza dengan peniaga bazar Ramadan di sekitar Kuala Nerus kerana biarpun berdepan dengan kenaikan kos barangan mentah, mereka tetap mengekalkan harga yang sama seperti tahun sebelum ini.
Seperti laporan oleh Sinar Harian, seorang peniaga ayam golek Kuala Nerus ini mengekalkan harga Ayam Golek pada harga RM28. Ini kerana dia tidak mahu membebankan pelanggannya.
Peniaga ayam golek, Amran Ismail, 56, berkata, dia terbeban dengan peningkatan harga barangan asas terutama ayam namun tetap menjual ayam golek pada harga berpatutan kepada pelanggan.
“Saya masih jual harga ayam golek sebanyak RM28 seekor dan tidak tergamak nak naikkan sehingga RM30 walaupun saya juga terkesan dengan harga barang.
“Ini melibatkan kenaikan kos harga bahan mentah seperti ayam sebanyak RM8.60 per kilogram selain kenaikan harga arang yang mendadak.
“Pada tahun lepas, harga arang hanya dijual RM27, namun kini harga arang dijual mencecah RM45 bagi satu guni.
“Memang terkesan tetapi kita tak sampai hati nak naikkan harga lagi sebab tahu ada pelanggan yang juga terkesan.
“Walaupun dapat untung sedikit tetapi niat kita nak jual ayam golek yang berkualiti dan mampu dibeli oleh pelanggan,” ujarnya.
Daripada kisah peniaga ayam golek ini, semoga peniaga-peniaga yang jujur daan ikhlas dalam berniaga di luar sana sentiasa dimurahkan rezeki sentiasa.
Sumber: Sinar Harian