Jarang sekali kita temui penjual durian yang hanya menjual isi durian sahaja kan? Namun sebenarnya ada penjual yang seperti ini. Ianya berlaku di Batu 15 Jalan Sintok.
Kerana kejujurannya, gerai pemuda ini sentiasa menjadi rebutan peminat raja buah. Mohd Izzuwan Ismail, 30, berkata dia memilih untuk menjual isi durian yang baik saja bagi memastikan pelanggan berpuas hati.
Menurutnya, dia mendapat idea untuk berniaga dengan cara itu pada bulan lalu selepas beberapa kali membeli durian buruk.
“Jika saya sendiri pasti merasa marah apabila buka durian yang isinya buruk maka orang lain juga akan ada perasaan begitu juga. Tidak mustahil mungkin ada yang menyumpah seranah peniaga durian sebagai seorang yang tidak jujur.
“Jadi saya tak mahu perkara itu berlaku kepada saya dan adik-adik yang membantu saya berniaga di sini. Kami mahu pelanggan berpuas hati dan melakukan ‘akad’ jual beli dengan rasa senang hati,” katanya yang juga adalah anak kedua daripada lapan beradik.
Menurut Izzuwan yang merupakan mekanik motosikal berkata, setiap durian setiap durian yang telah dikopek dan dimasukkan ke dalam bekas akan dijual dengan harga RM25 per kg. Manakala sebiji durian pula akan dijual bermuala dengan harga RM8 hingga RM25 per kg mengikut jenis.
Buah yang dijual itu akan dipastikan oleh Izzuwan dalam keadaan baik dan sekiranya dia berasa was-was atau mendapati terdapat tanda buruk pada durian berkenaan, dia akan terus mengopek buah tersebut.
“Jika buah itu dari jenis udang merah sekalipun, saya akan buka kemudian saya akan campur dengan buah jenis lain dan tetap dijual dengan harga RM25 sekilogram.
“Setakat ini pelanggan banyak yang ulang beli di gerai saya belum ada yang datang merungut. Alhamdulillah walaupun berniaga di hujung kampung saya berjaya jual lebih 200 biji durian setiap hari,” katanya yang berasal dari Kampung Changkat Setoi, Changlun.
Mekanik motosikal ini juga berkata, sejak tular mengenai cara jualan di gerainya baru-baru ini, hampir setiap hari duriannya habis dijual lebih awal.
“Selain menjual durian di gerai, saya turut menjual secara atas talian dan membuat penghantaran ke daerah lain termasuk ke Pulau Langkawi.
“Sebelum ini, saya dah hantar 20 bekas durian ke Pulau Langkawi, banyak lagi pesanan yang saya terima,” katanya.