Peniaga memang ada macam-macam ragamnya. Ada yang kelakar, ada yang menjengkelkan. Namun, yang tular di media sosial baru-baru ini buat ramai orang terkejut.
Kedengaran macam kelakar, tapi inilah tindakan yang diambil oleh seorang peniaga di Taiwan. Banner yang digantung oleh pemilik kedai ini bertujuan untuk memberi amaran kepada pelanggan.
Menurut banner ini, mana-mana pelanggan yang memanggil peniaga ini makcik akan diboikot dan tidak akan dilayan.
“Untuk memastikan kualiti makanan terjaga, pelanggan berusia 18 tahun ke atas tak dibenarkan untuk panggil tuan kedai dengan panggilan ‘Makcik’”, coret peniaga di banner yang dibuat.
Sejak gambar ini dimuatnaik di Group Facebook Baofei Commune, ragam peniaga ini mendapat reaksi berbaur daripada netizen Taiwan.
Si pemilik gambar mula perasan banner unik ini apabila ingin memesan makanan di kedai tersebut.
Menceritakan pengalamannya, salah seorang pelanggan dengan selamba memesan makanan yang diingini.
“Makcik, saya nak sepotong ayam salai dengan bawang dan secawan susu sejuk”, kata pelanggan tersebut.
Namun, permintaannya tak diendahkan.
Terpinga-pinga dengan layanan buruk ini, seorang pelanggan lain yang duduk di sebelahnya lantas menunjuk ke arah banner yang tergantung di depan kedai.
Sejurus membaca sendiri amaran yang terpapar pada banner, barulah pelanggan tadi faham kenapa dia tak dilayan.
Berkongsi lanjut, pelanggan tadi pun ubah taktik supaya permintaannya dilayan. Jadi dia pun pesan makanan dengan cara yang lebih digemari pemilik kedai.
“Tuan kedai yang cantik, saya nak pesan sepotong ayam salai dengan bawang dan secawan susu sejuk”, kata pelanggan itu.
Mendengarkan kata-kata manis dari pelanggan, barulah peniaga tadi terbuka hati untuk buatkan makanan seperti yang dipesan.
Walaupun nampak remeh, mungkin bab umur ini adalah isu yang agak sensitif bagi sesetengah orang.
Kita sebagai pelanggan juga kenalah lebih peka dan pandai mengagak usia supaya tak menyakiti hati peniaga. Untuk jalan selamat, kita bolehlah panggil peniaga sebagai Abang atau Kakak.
Lebih manis dan selamat. Mungkin tak ramai peniaga yang sensitif macam di kisah ini, tapi manalah tahu satu hari nanti mood peniaga tu tak baik, lain pula ceritanya nanti!
Sumber : mothership.sg