Sudah menjadi kebiasaan buat semua yang berkunjung ke pasar bagi mencari bahan mentah yang segar dan terbaik untuk dijadikan hidangan seisi keluarga di rumah.
Untuk mendapatkan sayuran dan bahan mentah terbaik, kita pasti akan semak kualitinya sebaik mungkin, itu pun kalau kita sempatlah! Kalau tak sempat, terpaksalah kita sambar saja apa yang terdekat.
Waktu raya terkejut beberapa hari lepas, mesti ramai yang kelam kabut sampai tak sempat nak pilih barang dapur betul-betul.
Namun, jika kita tak periksa dengan baik, barangkali kita boleh jadi mangsa kepada peniaga yang tak jujur. Seperti yang tular di TikTok baru-baru ini, sikap tak bertanggungjawab seorang peniaga yang mengepam ayam tersebar dan mendapat reaksi berbaur dari netizen.
Video ini juga sudah mula tersebar di beberapa platform media sosial hingga menjadi bualan hangat warganet.
@yb.officials ayam ayam ayam kembong angin #LiveForTheChallenge #fyp #masukberanda #ayam #ayamgeprek
Nampaknya video yang tular ini telah membuatkan ramai netizen geram. Ramai netizen menganggap tindakan peniaga ayam ini boleh membuatkan jualannya lebih laris dan timbangan ayam lebih berat. Seperti yang kita tahu, menipu timbangan ketika berniaga hukumnya berdosa besar!
Di sebalik rasa tak puas hati di kalangan netizen, ada juga sesetengahnya yang menganggap tindakan wanita ini adalah perkara biasa di kalangan peniaga untuk mencantikkan rupa jualan ayam. Mereka menganggap peniaga tersebut bertindak demikian kerana mahukan ayam mentahnya nampak lebih gemuk dan segar.
Mereka juga mengatakan kalau ayam dipam dengan angin beratnya tak akan naik. Betul ke? Justeru itu, mereka tak menganggap tindakan peniaga ini sebagai satu bentuk penipuan.
Walaupun ada yang bersetuju mengepam ayam takkan menambah beratnya, tetapi taktik ini masih dianggap tak jujur oleh kebanyakan netizen kerana ada niat menipu kualiti ayam yang dijual.
Bayangkanlah bila beli di pasar, bukan main cantik, bulat lagi rupa ayam. Tapi bila sudah bawa pulang ke rumah untuk dimasak, ayam jadi kecut sebab angin dah terkeluar. Memang tak patut!
Sebagai peniaga, mereka sepatutnya tawarkan produk dengan jujur supaya rezeki yang diperoleh berkat. Apa pula pandangan anda mengenai taktik peniaga pam ayam ni? Pernahkah anda terserempak dengan peniaga macam ni di pasar? Jom kongsikan dengan kami!
Sumber : TikTok @yb_official2, Shopee Viral Malaysia