Dengan hanya berniaga air balang pelbagai perisa pada bulan Ramadan, seorang lelaki mampu meraih hasil jualan sehingga RM10,000 sehari.
Meskipun mungkin ada sesetengah orang yang memandang perniagaannya itu sebelah mata, namun itulah sumber rezeki buat Kamarul Azizie Abdul Rahim, 51, dan 12 pekerjanya setiap kali bulan Ramadan.
Dianggarkan sebanyak 2,000 bungkus air termasuk yang membeli dalam bentuk cawan terjual setiap hari.
Bagaimanapun katanya, keadaan cuaca memainkan peranan utama dan sekiranya hujan, bisnesnya agak perlahan dan secara purata dia mampu memperoleh hasil jualan antara RM7,000 ke RM9,000 sehari.
Menurutnya, jika tahun lalu dia menjual 28 perisa air, kali ini dia menambah sehingga 34 perisa termasuk air yogurt yang sedang trend kini.
“Kita ada pelbagai jenis air yang dijual dengan harga bermula RM5 sehingga RM8 dan Alhamdulillah, tahun sebelum ini, saya mampu meraih hasil jualan berbelas ribu sehari.
“Tahun ini kita terpaksa naikkan harga RM1 berbanding harga tahun lalu kerana kenaikan kos bahan mentah namun kita jaga kualiti air kita.
“Air yogurt ini pun saya bukan buat sesedap rasa saja, tapi belajar membuatnya,” katanya kepada Sinar Harian ditemui di bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di sini pada Khamis.
Dalam pada itu beliau yang sudah 12 tahun berniaga di bazar Ramadan menyangkal dakwaan semua peniaga air balang menggunakan air paip untuk membuat air, namun tidak menafikan ia ada berlaku.
Bagaimanapun katanya, demi mencari keberkatan dalam berniaga, dia mengelak untuk berbuat demikian dan air yang digunakan adalah air yang dimasak terlebih dahulu.
Jika nak mudah, saya boleh saja guna air paip. Tapi saya nak cari rezeki yang berkat buat keluarga dan pekerja-pekerja saya.
“Lagi pun kalau di rumah pun kita akan masak air terlebih dahulu. Kalau tengok air yang saya jual pun semuanya pekat warnanya dan orang akan berpuas hati serta tak rasa rugi untuk datang beli lagi,” katanya.
Kamarul Azizie yang pernah bekerja makan gaji sebelum ini berkata, jika bukan pada bulan Ramadan, dia akan menjelajah seluruh negeri untuk berniaga air balang di program-program tertentu.
Katanya, dia pernah meraih hasil jualan mencecah puluhan ribu hanya dalam tempoh empat hari berniaga.
“Alhamdulillah selepas nekad berhenti kerja, inilah sumber pendapatan utama buat saya menyara keluarga.
“Sebenarnya bukan mudah untuk saya berada pada tahap sekarang kerana mula dengan berniaga dua balang air saja dan keropok lekor di sebuah pasar raya,” katanya
Sumber: Sinar Harian
Baca juga: Peniaga Bazar Ramadan Jual Makanan RM1, Mahu Bantu Orang Memerlukan Supaya Mampu Beli