Pernahkah anda terfikir daripada derma yang kita berikan yang mana kita harapkan kebaikan daripadanya tetapi membawa kita ke penjara? Sedekah atau memberi derma merupakan amalan yang kita anggap sangat bagus dan baik tetapi kalau tidak kena pada caranya pasti membawa kita kepada kesusahan. Mungkin kedengaran agak pelik. Tetapi itulah pengalaman perit yang pernah dilalui oleh Mohd Zulkifli Shafie.
Pengalaman pernah dipenjara selepas bersedekah itu dikongsi oleh beliau di laman facebook beliau baru-baru ini. Menurut Mohd Zulkifili beliau sudah fobia untuk memberi derma atau bersedekah sesuka hati. Walaupun sebelum ini beliau terlampau suka bersedekah.
Sehinggakan kalau terdengar keluhan daripada driver grab pun beliau tidak berat hati untuk membayar tambang lebih atau double. Beliau berbuat demikian kerana menghargai kegigihan mereka bekerja mencari wang demi meneruskan kehidupan.
Tetapi selepas kejadian yang tidak diingini berlaku kepadanya selama 2 tahun itu memberi pengajaran kepada beliau untuk lebih berhati-hati dalam soal memberi sedekah. Pada tahun 2018, beliau didapati bersalah kerana menderma kepada pengganas. Beliau ditahan dan dipenjarakan atas tuduhan yang dia sendiri tidak bermaksud untuk melakukannya. Tuduhan tersebut adalah menyalurkan dana untuk tujuan keganasan sebanyak RM200.
Sebenarnya itu hanyalah satu transaksi sedekah atas dasar ihsan kemanusiaan beliau kepada seorang kenalan lama beliau sewaktu di universiti dahulu. Kenalan beliau pada ketika itu diwartakan sebagai pengganas. Oleh sebab itu beliau dituduh menyalurkan dana untuk tujuan keganasan walaupun pada hakikatnya, bukan itu tujuan beliau memberikan sumbangan tersebut.
Disebabkan pernah mengalami situasi terburuk itu, Mohd Zulkifli meminta seseorang yang telah memohon bantuan beras kepadanya melalui WhatsApp agar memohon bantuan kepada pihak yang sepatutnya seperti pihak berwajib ataupun kariah masjid.
Mungkin pengalaman yang beliau kongsikan itu memberi pengajaran kepada kita agar lebih berjaga-jaga dalam soal memberi sedekah. Memberi sedekah itu sebenarnya tidak salah bahkan sangat digalakkan. Tetapi memandangkan sekarang macam-macam perkara pelik yang berlaku dan juga terlalu banyak peminta sedekah di laman sosial yang mana kita sendiri tidak tahu latar belakang mereka. Jadi dinasihatkan kepada anda di luar sana agar lebih berhati-hati dalam soal tersebut.
Mungkin selepas ini kita boleh sumbangkan sedekah kepada pihak berwajib atau pihak yang berdaftar seperti Pusat Zakat, badan kebajikan, NGO atau lain-lain kebajikan yang berdaftar. Selain itu anda juga boleh sumbangkan sedekah kepada keluaga terdekat. Bukankah itu lebih baik?
Perkongsian beliau di laman facebook itu mendapat maklumbalas yang baik dalam kalangan warganet. Rata-rata warganet turut berkongsi pengalaman mereka dan memberi pendapat.
Sumber: Mohd Zulkifli Shafie