Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 707K followers
  • 306K followers
  • 99.6K Followers
Home » Berita » Raih Pendapatan Yang Lumayan Hasil Dari Menternak Dhab, Bekas Guru Ini Mempunyai Hampir 100 Ejen

Raih Pendapatan Yang Lumayan Hasil Dari Menternak Dhab, Bekas Guru Ini Mempunyai Hampir 100 Ejen

Kategori:

Haiwan eksotik seperti ular, sesumpah, kura-kura serta anak buaya merupakan antara haiwan yang sering dipelihara bagi sesetengah pencinta haiwan. Namun lain pula bagi Azhar Mohamad Shafawi, yang merupakan seorang bekas guru agama yang mana kini lebih memilih untuk menternak dhab atau biawak pasir.

Menurut beliau, dengan menternak dhab ini beliau dapat menjana pendapatan yang lumayan. Harga seekor dhab yang sudah matang adalah sekitar RM5000. Beliau sanggup meninggalkan kerjaya lama sebagai pendidik demi menumpukan sepenuhnya terhadap penternakan dhab ini.

Meninggalkan kerjaya sebagai guru

Menurut lelaki yang berusia 49 tahun ini, permintaan Dhab yang tinggi pada ketika ini mendorong beliau untuk meninggalkan kerjayanya sebagai guru. Untuk pengetahuan anda, memakan Dhab ini dipercayai baik untuk kesihatan tubuh badan.

Tambahan pula, Dhab ini adalah halal untuk dimakan dan menjadi kegemaran bagi penduduk di negara-negara Asia Barat seperti Mesir dan Arab Saudi.

Bermodalkan sepasang Dhab

Menurut laporan Berita Harian, hanya bermodalkan sepasang Dhab yang dibawa pulang dari Mesir pada tahun 1994 lalu, Azhar kini membuktikan kepada umum bahawa beliau telah berjaya menternak lebih kurang 100 ekor dhab yang ditempatkan di kediaman beliau sendiri.

“Hanya bermula dengan sepasang dhab jantan dan betina, kini bilangan dhab yang saya ternak semakin bertambah. Tumbesaran dhab ini juga agak lambat. Seekor dhab betina perlu mencapai usia matang tujuh tahun bagi menghasilkan 20 hingga 70 telur,” ujar Azhar

Difahamkan, minatnya untuk memelihara haiwan reptilia ini timbul sejak beliau menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar awal 90-an dahulu. Berkat penternakan dhab yang diusahakan beliau di sana, sedikit sebanyak wang hasil jualan dhab tersebut boleh meringankan perbelanjaan bagi menampung pengajian beliau di Mesir.

Tambahnya lagi, dhab ini kemudiannya berjaya dan selamat dibawa pulang ke tanah air kerana difahamkan pada ketika itu masih tiada lagi penguatkuasaan undang-undang yang melarang membawa haiwan dari luar negara menaiki penerbangan pesawat.

Tidak sukar menternak Dhab

“Menternak reptilia ini tidaklah sesukar mana kerana ia hanya memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air seperti kubis, kacang panjang, daun salad, sawi serta kekacang yang bersesuaian sebagai sumber protein untuk memberikan daya tahan kepada dhab terutamanya apabila mereka berada di cuaca panas.”

Azhar mengganggarkan modal sebanyak RM50 sehari diperlukan hanya untuk membelikan makanan bagi Dhab ini. Tambah beliau lagi, Dhab ini sangat sensitif pada air hujan dan memerlukan penempatan yang bersesuaian dengan permukaan kulitnya.

Dhab sensitif pada kawasan pasir yang terkena air hujan

“Kawasan penempatannya juga mesti dititikberatkan. Dhab akan sensitif pada kawasan pasir yang terkena air hujan kerana ia boleh melukakan kaki dhab lalu berkudis.”

“Untuk atasi masalah ini, saya cuba meniru dan menghasilkan penempatan habitatnya persis yang biasa terdapat di negara Asia Barat sana. Pasir akan diletakkan di dalam kandang dan beberapa lubang yang diperbuat daripada gelung paip PVC perlu dihasilkan bagi dijadikan sarang untuk mereka berteduh dan menyembunyikan diri,”

Difahamkan Azhar kini sedang giat menghasilkan produk kesihatan berasaskan Dhab seperti pil kapsul pati Dhab dan minyak urut. Selain itu, Dhab ini juga boleh dijadikan pati campuran bagi kopi. Lebih menarik lagi, kini beliau juga berjaya meraih hampir 100 ejen bagi memasarkan produk-produk ini.

tags: |