Khas untuk penggemar makanan Thai, korang pasti sukakan rasa masam, manis dan pedas yang seimbang dalam semua hidangannya.
Kalau dah asyik buat lauk tomyam dan kerabu mangga di rumah, apa kata kali ini kita cuba resepi baru iaitu miang pla pao. Sangat sedap, kenyang dan menyihatkan!
Dicicah pula dengan sos hijau Thai homemade, alamatnya makin berseleralah jawabnya. Wajib untuk dicuba untuk yang sedang berdiet sekarang ni sebab kita guna air fryer saja!
Nampak macam susah, tapi caranya sebenarnya senang saja. Jom kita ikuti resepi yang dikongsikan oleh Afy AL Habibi ni. Hidangan miang pla pao istimewa ini sesuai untuk 2 orang makan tau!
Resepi Miang Pla Pao Versi Mudah
Bahan-Bahan Untuk Ikan Bakar
- 1 ekor siakap
- Tepung bestari (original)
Cara-Cara Untuk Sediakan Ikan Bakar
- Kelar ikan siakap seperti dalam gambar. Senang nak cubit-cubit nanti.
- Perap dengan tepung Bestari original satu jam. Renjiskan minyak sedikit atas bekas dan badan ikan.
- Masuk dalam air fryer. Saya bakar dua kali. Balikkan depan belakang. Kalau versi biasa terus je goreng dalam kuali dengan minyak yang cukup.
- Siap! Masak cantik macam digoreng dalam minyak yang banyak.
Bahan-Bahan Untuk Salad
- Timun (Dipotong panjang)
- Salad
- Tomato Ceri
- Daun ketumbar
- Suhun (Kalau guna bihun tak kick. Suhun juga boleh ganti nasi sebagai sumber karbohidrat. Lagi bagus!)
Susunkan bahan-bahan salad ke atas dulang. Tinggalkan sedikit ruang untuk letakkan ikan bakar dan sos hijau Thai.
Bahan-Bahan Untuk Sos Hijau Thai
- 1 genggam kecil cili padi hijau (kalau tak nak pedas menyengat, boleh kurangkan atau gantikan dengan cili besar hijau)
- 2 batang daun ketumbar
- ½ sudu besar nisse Thai
- 3-4 sudu besar sos ikan
- 1 labu bawang putih jeruk
- ½ biji lemon & ½ limau nipis (ambil airnya)
- Sedikit sahaja air
Cara-Cara
- Kisar semua bahan sampai lumat. Tuang dalam mangkuk.
- Kemudian masukkan 2-3 biji bawang putih cincang. Boleh sesuaikan rasanya kalau perlu. Sos nampak berbuih tu dalam gambar sebab ia baru siap dikisar, jangan risau ok!
Senang rupanya nak buat miang pla pao sendiri dekat rumah. Ini kalau beli di kedai dah berapa puluh ringgit! Mengenyangkan dan lebih sihat, yang tengah berdiet memang wajib cuba resepi ni! Jom buat sendiri di rumah. Selamat mencuba!
Sumber : Afy AL Habibi