Masih tercari-cari menu untuk makan tengahari sebab dah tahu nak masak apa? Haa, resepi ini khas untuk anda! Jom cuba masak Siakap 3 Rasa Aurora perkongsian oleh cikgu Afy AL Habibi. Menurut beliau buat sendiri lagi jimat. Beli ikan siakap sendiri baru RM8.90 seekor, kalau kat kedai boleh tahan mahal juga.
Bila masak sendiri, boleh hias cantik-cantik macam menu masakan di kedai. Kalau buat ni, confirm semua orang makan sampai tak tinggal pun kepala ikan! Jom cuba.
1. Perapkan ikan 1/2 jam dengan bahan yang telah ditumbuk:
– hiris halia
– 3 ulas bawang putih
– 1/2 sudu kecil garam
* saya suka belah ikan ala ‘fillet’ macam kat bawah ye.
* Isi ikan akan lebih rangup dan sedap.
2. Selepas diperap, tabur rata 3/4 sudu besar tepung jagung di depan dan belakang ikan.
*untuk elak ikan melekat dan isinya lebih rangup.
3. Goreng ikan dalam minyak yang panas dan banyak.
4. Angkat setelah ikan garing pada kedua-dua bahagian. Terus letak atas daun salad yang telah dihias.
5. Sementara itu, sediakan bahan yang perlu dipotong:
– 1/2 biji bawang merah- dadu
– 1/2 biji bawang Holland- dadu
– 2 ulas bawang putih – dadu
– 2 helai daun limau purut
– 2 hiris halia- hiris memanjang
– 3 tangkai cili padi merah
– 1 tangkai cili besar hijau
– 1 batang serai- hiris serong
– 1 hiris nanas- hiris dadu
6. Gunakan minyak gorengan ikan siakap tadi sedikit. Masukkan semua bahan yang dipotong kecuali cili dan nenas.
7. Kemudian masukkan pula 1 senduk bahan kisar;
– 1/2 biji bawang merah
– 1/4 biji bawang Holland
– 1 ulas bawang putih
– 1/4 sudu kecil ketumbar& jintan putih
– 2 hiris nipis serai
– 1/4 hiris nipis halia
Tumis sehingga naik bau dan sedikit garing.
8. Masukkan pula 1 1/2 senduk cili kering kisar. Tutup kuali dengan penutup seketika. Biarkan ia pecah minyak.
9. Tambahkan 1 senduk cili sos Life.
10. Masukkan juga 1 sudu besar sos tiram.
11. Masukkan 3/4 gelas air asam jawa (secubit asam jawa + 3/4 gelas air). Kacau sekata dengan api sederhana perlahan.
12. Perasakan dengan :
– 1 3/4 sudu besar gula
– 3/4 sudu kecil garam
– 1/2 sudu besar perencah Hilal
Segala kuantiti terpulang kepada citarasa sendiri.
13. Akhirnya masukkan potongan nenas sebelum ditutup api. Masukkan juga sedikit cili potong tadi.
14. Siap! Sedia untuk dicurahkan kuah ini atas badan ikan.
15. Hiaskan dengan baki cili potong dan hirisan limau nipis. Selamat mencuba.
Kredit: Afy AL Habibi