Baru-baru ini, tular satu hantaran di media sosial tentang kualiti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang hanya menyediakan beberapa urat mi goreng sebagai santapan pelajar. Hal ini menjadi satu kebimbangan bagi ibu bapa.
RMT disediakan untuk membantu golongan dan pelajar memerlukan. Tatkala murid lain dapat makan sarapan pagi di rumah, bagi murid yang susah berkenaan, jika tidak mampu berbuat sedemikian, dia boleh mengambil sarapan di kantin sekolah sebelum kelas bermula.
Tetapi, hal ini menjadi satu ketirisan apabila makanan murid tidak dijaga. Terbaharu, menurut Free Malaysia Today, kadar RM2.50 bagi setiap murid untuk RMT sudah tidak releven dan kadar itu perlu dikaji semula. Ia seiring dengan kenaikan harga barangan.
Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah berkata, penetapan harga itu tidak berubah sejak 7 tahun lalu walaupun kos bahan mentah sudah meningkat berkali-kali.
Justeru, beliau mengesyorkan harga RMT dinaikkan kepada RM4.50 bagi Semenanjung dan RM5.50 untuk Sabah dan Sarawak.
“Harga ini sepatutnya dilaksanakan dari 2020 lagi. Walaupun sudah 2 tahun isu ini dibangkitkan namun tiada tindakan wajar diambill kerajaan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Pemberian makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutama dari luar bandar dan golongan berpendapatn rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalam pemakanan.
Kadar ditetapkan untuk Semenanjung ketika ini adalah RM2.50 untuk seorang murid. Manakala bagi Sarawak, Sabah dan Labuan sebanyak RM3 setiap murid terlibat.
Menurut Khairuddin, terdapat sesetengah sekolah di kawasan Orang Asli dan sekolah pendidikan khas yang hampir 100% muridnya layak menerima RMT. Ini sekali gus membebankan pengusaha kantin sekolah tersebut jika kadar harga lama dikekalkan.
Situasi itu katanya, boleh menyebabkan pengusaha kantin gulung tikar dan terpaksa menamatkan kontrak awal serta kehilangan deposit.
Dalam pada itu, beliau berkata, menu RMT harus diseragamkan di seluruh negara. Ini merujuk kepada 25 menu yang ada tetapi hanya 10 sahaja yang releven.
Sebagai contoh, katanya, menu yang mengandungi nasi, ayam, sayur, buah dan air digemari ramai pelajar. Tetapi, terdapat juga menu seperti roti canai, buah dan air sahaja yang disediakan.
“Objektif RMT adalah membantu pelajar sekolah dari keluarga berpendapatan rendah. Ini tidak tercapai sekiranya pelajar tersebut tidak makan.
“Menu yang dipilih harus berkualiti supaya pelajar kekal sihat dan fokus semasa sesi pembelajaran,” katanya.
Diharapkan isu harga RMT sudah tidak releven ini dapat dikaji semula dan ada tindakan yang pantas untuk menyelesaikan kadar harga yang sesuai bagi menampung bajet RMT. Ini melibatkan isu murid yang mana mereka adalah masa depan negara.
Sumber: FMT
Baca juga: Penyeludup Minyak Masak Guna Perahu Dayung, Bagi Elak Dikesan Pihak Berkuasa