Mi segera atau secara umumnya kita panggil Maggi adalah antara masakan yang senang dan mudah dimasak. Biasanya orang-orang akan memilih Maggi kerana ingin berjimat ataupun perlu memasak dalam jangka masa yang singkat akibat kesibukan kerja.
Tetapi dengan pilihan setiap hari masak Maggi, ia telah mengubah hidup seorang isteri kerana suaminya memfailkan cerai kerana tindakannya itu. Dia didakwa hanya menghudangkan Maggi kepada suaminya untuk semua hidangan.
Merujuk India Times, Hakim Utama Daerah dan Mahkamah Sesyen ML Raghunath, bercakap tentang kes perkahwinan di mana pasangan memfailkan perceraian atas isu kecil. Dia berkata bahawa kes ini timbul semasa dia menjadi hakim daerah di Ballari.
ML Raghunath berkata, menurut si suami, isterinya tidak tahu memasak sebarang masakan lain. Oleh hal demikian, isteri mengambil keputusan untuk menghidangkan Maggi setiap hari kepadanya.
Dia juga mendedahkan bahawa kes penceraian kerana Maggi adalah antara kebanyakan kes ganjil yang dia hakimi. Mahkamah di sana telah menerima kes penceraian atas banyak sebab yang pelik-pelik. Antara yang lain adalah meletakkan garam di sebelah pinggan yang salah.
“Kami mendapat petisyen cerai lebih banyak dari kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar. Di kawasan luar bandar, pachayat (sistem politik India) mencampur tangan dan menyelesaikan masalah.
“Wanita di sini tidak mempunyai kemerdekaan dan ketakutan mereka terhadap masyarakat serta sentimen keluarga memaksa mereka untuk menghadapi situasi tersebut. Tetapi di bandar, wanita berpendidikan dan bebas dari segi kewangan,” kata hakim.
Jika di Malaysia, antara alasan yang pelik lagi hairan dalam kes cerai pernah terjadi adalah suami tak suka isteri makan dalam kereta, tertinggal barang di pasar, lambat menyediakan makan malam dan banyak lagi sebab-sebab pelik.
Rasanya, dalam rumahtangga dan sebagai manusia, jika alasan-alasan yang terlihat ‘kecil’ seperti setiap hari masak maggi ini menjadi sebab penceraian, ia sebolehnya dielakkan.
Cuba duduk dan berbincang bagaimana ingin menyelesaikan masalah dan merancang agar perkahwinan tidak runtuh serta lebih bahagia. Pasti semua ini ada jalan penyelesaian yang terbaik!
Sumber: Indiatimes
Baca juga: Setiap Kali Gaduh Suami Buang Beras Dalam Mangkuk Tandas, Biar Isteri Anak Berlapar