Sebuah iklan pencarian penebar roti canai di Singapura menarik perhatian ramai apabila menawarkan gaji lumayan RM5,000 ke atas dan tempat tinggal percuma kepada rakyat Malaysia.
Tawaran itu diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini, New Straits Time.
Bukan itu sahaja, penebar roti canai yang beragama Islam juga seperti dialu-alukan untuk memohon memandangkan majikan turut menyediakan surau di tempat kerja.
Malah makanan juga akan disediakan secara percuma khusus untuk rakyat Malaysia yang berminat menyumbangkan bakat memmbuat roti canai kepada negara seberang.
Walau bagaimanapun, iklan yang hanya disertakan dengan nombor telefon itu tidak menyatakan nama syarikat atau lokasi sebenar perkhidmatan tersebut diperlukan.
“Jawatan kosong di Singapura untuk pembuat roti canai. Gaji RM5,000 dan ke atas. Surau, tempat tinggal dan makan disediakan,” tulis iklan diterbitkan New Straits Times, semalam.
Peluang pekerjaan untuk penebar roti canai ini merupakan salah satu ‘jawatan’ yang menawarkan gaji tinggi untuk pekerja mahir tanpa memerlukan sijil pendidikan tinggi.
Mengagumkan, iklan ini membuktikan kepakaran serta kemahiran ‘bakat’ di Malaysia masih diburu sehingga majikan luar negara sanggup meletakkan iklan dalam akhbar tempatan.
Perkara ini bagaimanapun turut mendatangkan kebimbangan serta cabaran untuk mengekalkan ‘bakat’ tempatan terutamanya dalam sektor makanan, minuman dan perkhidmatan.
Sementara itu, mereka yang berminat dengan tawaran penebar roti canai ini dinasihatkan untuk menukarkan nilai gaji kepada Dolar Singapura dahulu sebelum membuat pertimbangan untuk memohon pekerjaan tersebut.
Hal ini ekoran gaji yang ditawarkan mungkin kedengaran besar dalam nilai ringgit, namun pendapatan tersebut mungkin tidak cukup untuk menanggung kos sara hidup tinggi di negara itu.
Sumber: New Straits Times