Isu pembaziran makanan yang selalu timbul ketika bulan Ramadan atau puasa ini seperti tiada penghujungnya. Boleh dilihat dari hari ke hari, makanan yang dibuang kerana melebihi kapasiti sememangnya akan berlaku dan terus berlaku.
Ia berlaku di setiap negeri dan hal ini sangat membimbangkan. Mengambil contoh pembaziran bazar Ramadan di Selangor misalnya, lambakan makanan yang dibuang sememangnya begitu merisaukan.
Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Ahad semalam, pembaziran sisa makanan di bazar Ramadan Selangor bersamaan dengan berat sebanyak 195 ekor gajah. Peniaga bazar Ramadan di sini membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual.
Ia berlaku dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa. Jika digambarkan, jumlah pembaziran makanan berkenaan bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, secara puratanya, peniaga bazar Ramadan di negeri ini, membabitkan enam jajahan pihak berkuasa tempatan (PBT), membuang sisa bahan makanan sebanyak 73.67 tan sehari.
Dengan statistik perbandingan yang dilaporkan tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya, mengapa hal ini terus berterusan berlaku? Melihaat komen orang ramai berkenaan isu ini, masing-masing mengutarakan pendapat tentang hal ini.
“Ni lah akibat bila naikkan harga makanan dan orang keseluruhannya tak mahu beli”, komen netizen dengan nama Baharudin Kasim.
“Haritu tengok rancangan borak dulu baru buka. Pakar tu kata, secara jujurnya orang Malaysia buang sisa makanan lebih tinggi berbanding di US, Korea dan beberapa negara maju. benda ni boleh menyebabkan global warming sebenarnya.
“Betul la apa dia cakap sebab sampah ni menghasilkan komponen karbon. Sedih sangat. Sebab tu saya memang dah lama amalkan prinsip biar tak cukup jangan berlebih,” komen Noor Ashikin Saerah.
Semoga hal ini dititikberatkan oleh setiap individu. Seperti kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Sumber: Sinar Harian