Kebimbangan yang semakin memuncak dalam kalangan masyarakat bukan sahaja di dalam negara malah seantero dunia adalah krisis kekurangan bekalan makanan. Import beras adalah salah satu isu yang patut dibincang.
Salah satu makanan ruji yang menjadi pilihan utama masyarakat negara ini adalah nasi (beras). Malaysia adalah salah satu negara yang masih perlu mengimport makanan ruji berkenaan bagi menampung keperluan penduduknya.
Menurut artikel Harian Metro yang dikeluarkan semalam, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata Malaysia berkemungkinan tidak perlu mengimport beras sekiranya mampu memperkemaskan infrastruktur.
Selain itu, subsidi dalam industri penanaman padi negara harus juga dititikberatkan. Bagi mencapai sasaran itu, Kerajaan Persekutuan perlu berusaha membantu pesawah terutama di Kedah untuk menanam padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun.
Katanya, ia juga sebagai persediaan negara menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan dunia yang dijangka berlaku pada 2025 sehingga memberi kesan terhadap peningkatan harga makanan pada semua peringkat.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan juga perlu membantu sehingga padi dapat ditanam lima kali dalam tempoh dua tahun jika mahu negeri Kedah menjamin bekalan makanan negara,
“Saya dimaklumkan kalau padi dapat ditanam lima kali dalam tempoh dua tahun, kita tak perlu import lagi beras. Beras import harganya mahal, jadi kita kena lengkapkan infrastruktur dan Kerajaan Persekutuan perlu sediakan subsidi kepada pesawah,” jelasnya semalam.
Dalam perkembangan sama, menurut Utusan Malaysia, Perak akan meningkatkan hasil padi bagi bersiap sedia menyediakan bekalan makanan ruji yang mencukupi untuk rakyat. Ini bagi menghadapi kemungkinan berlakunya inflasi makanan.
Jadi kesimpulannya, untuk bergantung kepada beras import semata-mata mungkin adalah jalan yang salah. Seperti isu gandum, apabila ada sesetengah negara pengeluar yang menghentikan terus eksport barangan mentah, ini memberi kesan buruk mendadak kepada negara lain.
Malaysia yang merupakan negara yang mempunyai negeri jelapang padi haruslah menggembleng tenaga bersama. Ini adalah untuk menjamin bekalan beras dan tidak bergantung banyak kepada beras import semata-mata.
Sumber: Harian Metro
Baca juga: Harga Ikan Pula Dijangka Meningkat Kerana Bekalan Ikan Semakin Kurang