Peningkatan harga minyak bermula 1 Julai 2022 ini buatkan ramai risau. Memang tak dinafikan harga minyak masak botol 2kg, 3kg dan 5kg meningkat dengan agak mendadak sehingga buatkan ramai terkedu. Yang jenis paket pula memang susah nak dapat di pasaran sekarang.
Nak tak nak, kita kena juga beli untuk kegunaan harian. Kalau tak ada minyak, kita nak masak lauk pun susah.
Jadi, apa yang kita boleh buat untuk jimatkan penggunaan minyak? Jom kita tengok perkongsian dari Dr Kamarul Ariffin Saadan.
Tips yang diberikan memang cukup bagus untuk diikuti supaya minyak tahan lama. Masakan kita juga boleh jadi kurang berminyak!
Tips Jimatkan Penggunaan Minyak Masak Supaya Tahan Lama dan Masakan Lebih Sihat
- Bagi yang dah lama teringin nak mulakan pemakanan sihat, inilah masanya! Tukarkanlah menu gorengan yang anda sering sediakan di rumah kepada menu rebusan, stim, renehan atau singgang. Menu macam ni bukan saja boleh jimatkan penggunaan minyak, malah ia juga menyihatkan!
- Sebagai alternatif kepada goreng, gunakanlah kaedah bakar atau panggang. Cara ini hanya gunakan minyak yang sedikit tapi masih dapat kekalkan rasa hidangan yang lazat!
- Tukarkan kuali biasa kepada kuali non-stick. Ini akan memudahkan anda buat gorengan guna minyak yang sedikit tanpa melekat.
- Sekarang juga adalah waktu yang sesuai untuk anda miliki air fryer di rumah. Kini, anda boleh dapati air fryer yang berkualiti dengan harga tak sampai RM 200! Boleh guna dalam jangka masa panjang dan menjimatkan minyak.
Selain itu, kebanyakan air fryer juga boleh bantu anda sediakan hidangan jenis panggang dan bakar!
- Jika anda nak sediakan hidangan goreng bersalut tepung, pastikan suhu minyak adalah sekitar 180 hingga 190°C sebelum menggunakan. Ini bagi mengelakkan tepung serap minyak secara berlebihan.
- Jangan goreng makanan terlalu banyak dalam satu masa. Bila anda nak goreng banyak makanan serentak, anda akan cenderung untuk gunakan lebih banyak minyak.
- Elak panaskan minyak sampai terlalu panas kerana ia boleh rosakkan minyak dan buatkan ia tak selamat untuk digunakan secara berulang.
- Jangan campurkan minyak baru dengan minyak lama. Cara ini akan cemarkan minyak baru dan pendekkan hayat selamatnya.
- Sejukkan, tapis dan simpankan minyak yang hendak diulang guna di dalam bekas kedap udara. Pasti minyak bebas daripada sisa makanan atau bahan terampai.
- Anda juga boleh kitar semula minyak masak terpakai supaya dapat diproses menjadi biodiesel. Harga minyak masak terpakai boleh dijual sekitar RM 2 hingga RM3 sekilo.
Tanda-Tanda Minyak Masak Tak Boleh Digunakan Lagi
Dalam nak jimatkan penggunaan minyak, anda juga perlu perhatikan tanda-tanda minyak masak sama ada selamat lagi tak untuk digunakan secara berulang. Antara tanda-tanda yang minyak masak sudah tak boleh digunakan adalah :
- Warna minyak bertukar jadi perang pekat.
- Minyak jadi lebih likat
- Minyak berbau tengik
- Banyak asap terhasil bila dipanaskan
- Warna makanan yang digoreng jadi terlalu gelap
- Rasa makanan yang digoreng tak sedap.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda yang nak jimat minyak masak pada waktu ini. Selamat mencuba!
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan