Sejak akhir-akhir ni, ayam mentah jadi satu isu yang hangat di kalangan netizen akibat kenaikan harga yang dikatakan bakal meningkat dan stok yang berkurangan.
Tak dinafikan ayam sememangnya terdapat permintaan yang tinggi kerana mudah untuk dimasak dan kena dengan citarasa orang ramai.
Dalam kekalutan membeli ayam pada waktu ini, jangan pula anda tersalah pilih ayam yang ada di pasaran sampaikan terbeli ayam yang tak segar!
Sekali pandang, memang tak dinafikan agak sukar untuk kenalpasti ayam yang segar bila dilambakkan di pasar basah atau pasar raya. Jadi macam mana nak tahu tahap kesegaran ayam yang dibeli? Jom kita ikuti tips pilih ayam segar yang dikongsikan oleh Isteri Shaikh di Masak Apa Hari Ni!
Bila anda sedang pilih ayam segar, perhatikan warna di semua bahagian termasuk di bawah kepak dan paha. Pilihlah ayam yang segar dengan warna daging kemerah-merahan.
Elakkan membeli ayam lama yang mempunyai warna daging yang pucat serta kekuningan. Ini menunjukkan yang ayam tersebut sudah disimpan lama dan dibekukan beberapa kali.
Untuk dapatkan ayam yang segar, anda kena tekan sedikit isi ayam. Daging ayam yang segar akan mempunyai tekstur yang empuk bila ditekan. Daging ayam yang sudah lama pula akan tenggelam bila ditekan.
Anda juga boleh cuba tarik sedikit kepaknya. Ayam yang segar, apabila ditarik kepaknya ke belakang, ia akan kembali ke posisi asal. Tetapi, jika ia segar, kepaknya akan terkulai.
Ayam yang kenyal biasanya diletakkan formalin. Ayam yang kelihatan bengkak pula biasanya telah disuntik.
Jika ayam mentah di hadapan anda berbau hanyir, kuat atau kurang menyenangkan, bermakna ia sudah tak segar lagi. Sebaliknya, pilihlah ayam yang tak mempunyai bau busuk atau hanyir.
Seperkara lagi, jika anda dapati ada lalat yang menghurung atau hinggap pada ayam, biasanya ayam ini sudah tak segar lagi. Jadi, elakkan daripada membeli pada penjual itu atau beli saja di tempat lain.
Tips yang ni ramai yang terlepas pandang. Untuk pilih ayam segar, semak sekiranya ayam itu ada darah atau tidak. Ayam yang segar tak akan ada darah yang banyak. Ayam yang ada banyak darah bermakna ia sudah tak segar kerana telah dibekukan dan dinyahbekukan beberapa kali.
Bagi yang belum tahu, ayam mentah mempunyai risiko salmonella yang lebih tinggi. Maka, adalah penting untuk anda ketahui cara untuk pilih ayam yang segar untuk kurangkan risiko ini. Selain itu, rasa hidangan anda juga akan terjamin lebih lazat dan berkhasiat.
Jadi, ambillah sedikit masa bila pilih ayam. Jangan tergesa-gesa, pilihlah ayam yang betul-betul segar supaya pembelian anda berbaloi. Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Sumber : Isteri Shaikh via Masak Apa Hari Ni