Terung antara sayuran yang menjadi pilihan kegemaran ramai sehinggakan ada yang mengambil inisiatif untuk menanamnya sendiri di rumah. Tak perlu beli lagi selepas ini.
Jika cara penjagaannya betul, terung akan berbuah lebat sehingga makan pun tidak akan habis. Tak perlu tanam banyak, dua pokok sahaja dah cukup untuk dapatkan hasil yang banyak.
Jom ikuti perkongsian oleh Azuan Abdullah yang berkongsikan cara menanam dan cara menjaga pokok terung yang betul. Semoga bermanfaat ya!
Pokok terung ni saya tanam suka-suka tepi rumah. Jenis antabogal. Tanam dua pokok je, buahnya memang tak habis makan.
1. Tanam dalam petak tanaman. Guna tanah campuran sebagai media tanaman. Jarak antara pokok 3 kaki.
2. Tanam anak benih masa umur 35 hari lepas semai.
3. Lepas tanam terus sembur dengan kawalan organic buatan sendiri. Semburan juga dibuat pada hari kedua dan ketiga lepas tanam. Sembur pada awal pagi.
4. Siram dengan air kosong pada hari pertama dan kedua lepas tanam. Siram pada waktu pagi dan petang. 1 liter setiap kali siram.
5. Siram dengan baja subur pada hari ketiga lepas tanam. Kadar pencairan adalah 10 ml larutan stok baja subur untuk 1 liter air. Siram 1 liter satu pokok pada waktu pagi. Sebelah petang siram dengan air kosong sebanyak 1 liter 1 pokok.
6. Siram dengan air kosong pada hari yang kita tak siram dengan air baja. 1 liter pagi dan 1 liter petang.
7. Siram dengan air baja subur dua kali seminggu sehingga pokok ini berumur 14 hari lepas tanam. (HLT). Saya siram pada umur 3 HLT, 7 HLT, 10 HLT dan 14 HLT. Kadar pencairan adalah 10 ml larutan baja subur untuk 1 liter air. Siram pada waktu pagi, 1 liter 1 pokok. Petang siram dengan air kosong 1 liter 1 pokok.
8. Bila pokok 17 HLT, 20 HLT, 24 HLT, 27 HLT dan 30 HLT, guna pencairan 15 ml larutan stok baja subur untuk 1 liter air. Siram pada waktu pagi, 1 liter satu pokok. Petang siram dengan air kosong, 1 liter 1 pokok.
9. Sembur dengan kawalan organic buatan sendiri pada setiap hari kita siram air baja. Sembur awal pagi. Sembur pada pucuk dan daun muda hingga basah lencun.
10. Pastikan tiada rumput di kawasan pokok kita sebab rumput ni rumah bagi serangga perosak. Bila tiada rumput, risiko serangan perosak pun kurang dan nak kawal pun mudah.
11. Boleh start siram dengan air baja buah bila pokok dah 34 hari lepas tanam. Kadar pencairan adalah 15 ml untuk 1 liter air. Siram pada waktu pagi, 1 liter 1 pokok. Petang siram dengan air kosong, 1 liter 1 pokok.
12. Bila pokok dah start berbuah dan boleh kutip hasil, buang daun yang tak berfungsi setiap minggu.
13. Bila pokok umur 64 hari lepas tanam, saya siram dengan baja buah antara 1.5 – 2 liter sepokok. Siram pada waktu pagi dan kadar pencairannya juga adalah sama. Petang siram dengan air kosong, juga antara 1.5 – 2 liter setiap pokok.
Patutlah masa ambil benih hari tu, kawan kata terung jenis ni boleh capai 15 kg sepokok. Masa tu was-was lagi. Betul ke ni? Ke sembang je lebih! Bila dah tanam sendiri ni, rasanya cakap member tu boleh percaya la sebab dah lebih 30 biji saya petik terung ni dari 2 pokok yang saya tanam. Buah kat pokok sekarang ada lebih kurang 20 biji lagi.
Memang kami tak habis makan walaupun tanam 2 pokok. Siap pokok terung ni dapat berbakti lagi untuk 6 buah rumah saudara kami. Alhamdulillah.
Sumber: Azuan Abdullah