Pengambilan gula yang berlebihan akan menyebabkan peningkatan berat badan yang tidak diingini.
Selain itu, risiko tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis jenis II dan penyakit kronik lain termasuk penyakit jantung dan barah juga mungkin terjadi.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memperkenalkan kempen Kurang Gula, Kurang Harga pada Sabtu lepas.
Ia dibuat bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian.
Fuziah berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan restoran dan wakil industri bagi merangka kempen tersebut.
Antara yang terlibat dalam sesi libat urus itu adalah Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) dan Presma.
Semalam, Naib Presiden Presma, Abdul Mukthahir M Ibrahim berkata, sebanyak 3,500 rangkaian restoran di bawah Presma seluruh negara bersetuju menurunkan harga sebanyak 10 sen untuk minuman teh O dan kopi O tanpa gula selaras dengan kempen tersebut.
Ulasnya, tawaran harga tersebut akan dilaksanakan serentak apabila kempen itu dijangka bermula dua minggu lagi.
Inisiatif Kempen Kurang Gula ini wajar disambut baik oleh semua pihak memandangkan ramai mengamalkan pemakanan tidak sihat tanpa memikirkan kesannya kepada kesihatan mereka.
“Saya pun kalau boleh tidak mahu rakyat ambil gula (dalam pemakanan) kerana gula ini punca penyakit.
“Saya minta supaya semua pengusaha restoran dan kedai makan jangan ambil kesempatan kerana apabila kita buat kempen Kurang Gula, Kurang Harga, mereka kurangkan 10 sen,” kata Ketua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia .
Sumber: Sinar Harian