Pandemik Covid-19 yang telah melanda negara telah memberi impak yang besar pada semua sektor ekonomi. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak industri yang terjejas dan mengalami kerugian yang besar sehingga terpaksa menghentikan operasi perniagaan.
Sektor perkhidmatan sajian dan restoran juga terjejas susulan penularan pandemik Covid-19. Bukan sahaja peniaga kecil, malah dua ribu restoran mamak terpaksa menutup perniagaan mereka sejak tahun 2020.
Oleh kerana kekurangan tenaga pekerja, restoran mamak terpaksa ditutup. Sebelum ini, pemilik menggunakan pekerja asing namun setelah pekerja mereka pulang untuk bercuti ke negara asal, pandemik Covid-19 yang masih lagi berleluasa telah menyukarkan mereka untuk kembali ke Malaysia.
Untuk mengatasi masalah tersebut, pemilik juga menawarkan peluang pekerjaan pada pekerja tempatan namun sambutannya adalah kurang memberangsangkan. Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan juga menyifatkan kekurangan tenaga kerja ini merupakan isi besar yang semakin kritikal dan sedang membelenggu ahlinya di seluruh negara.
(Datuk Jawahar Ali Taib Khan)
Menurutnya, daripada 12 ribu ahli yang berdaftar dengan PRESMA, kini lebih 2 ribu ahli sudah menutup operasi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor, kebanyakannya disebabkan kekurangan tenaga kerja. Perkara itu telah memberi kesan besar pada kelangsungan industri perkhidmatan sajian dan restoran.
Tambahnya, meskipun peluang dibuka pada pekerja tempatan, langkah ini ‘bagaikan mencencang air’ kerana tidak mempunyai sambutan daripada rakyat Malaysia untuk bekerja di restoran mamak.
Jawahar Ali turut berkata, ramai juga pekerja restoran sebelum ini mengguunakan MyTravelPass pulang untuk bercuti sebelum PKP dikuatkuasakan tapi tidak dapat masuk semula akibat pandemik. Hal itu menjejaskan operasi restoran mamak di seluruh negara.
Walaupun negara sedang pulih dan bergerak ke arah lebih baik dalam tempoh pandemik ini, namun isu pekerja terus menjejaskan operasi restoran. Industri tersebut memerlukan 30 ribu pekerja untuk mengisi kekosongan di seluruh negara.
Untuk memastikan operasi perniagaan sentiasa dijalankan, restoran mamak kini berhadapan dengan keadaan yang ‘kelam-kabut’ ekoran perubahan pada sistem yang telah ditetapkan.
Diulas lebih lanjut oleh beliau, setiap bahagian perkhidmatan di restoran itu akan ada beberapa pekerja terlatih atau mahir untuk melaksanakan tugas di bahagian itu. Contohnya, pekerja di bahagian menyediakan air tidak akan melakukan tugas lain seperti menghantarkan makanan atau menebarkan roti canai. Malah, mereka juga mempunyai petugas khusus untuk menjaga kebersihan premis.
Jadi apabila berlaku isu kekurangan tenaga pekerja, sistem itu sukar untuk dipraktikkan dan operasi perniagaan menjadi kelam-kabut.
Bersedia untuk menyahut seruan kerajaan untuk menggaji pekerja tempatan, ahli PRESMA bersedia menyediakan peluang perkerjaan pada rakyat Malaysia. Namun sambutannya agak ‘dingin’ dan tak ramai rakyat Malaysia yang mahu berkhidmat di restoran mamak.
Walaupun peluang itu diwar-warkan dengan poster di setiap restoran ahli tapi tak banyak sambutan. Yang bersedia untuk bekerja hanya warga emas yang kesempitan wang atau warga asing yang lari daripada sektor lain atau pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pihak mereka tidak mendiskriminasi warga emas yang masih mampu bekerja tapi industri mereka memerlukan tenaga orang muda kerana waktu kerja yang fleksible. Jawahar Ali pernah juga melaporkan bahawa pengusaha restoran mamak telah kehilangan hampir 50 peratus pekerja selepas mereka pulang ke negara asal sejak PKP dilaksanakan.
Kebanyakkan restoran mamak juga sudah tidak beroperasi selama 23 atau 24 jam seperti dahulu. Hal ini kerana pelanggan mula berkurangan sekitar pukul 11 malam dan kelihatan tiada yang melepak melebihi pukul 12 pagi. Tambahan pula, orang ramai sudah tidak menonton bola bersama dan bersembang lama di restoran itu disebabkan penularan wabak Covid-19.
Tinjauan kami mendapati Restoran Ameer Ali dan Fariz Maju di Bandar Baru Bangi juga tutup seawal pukul 11 malam dan 12 malam. Sebelum ini restoran tersebut beroperasi selama 23 hingga 24 jam namun kerana kekurangan pelanggan, mereka telah mengehadkan wakut operasi perniagaan.
Isu ini merupakan masalah serius yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Semoga pihak berwajib dapat memberi solusi pada pengusahan restoran dalam masa terdekat agar dapat mengatasinya.
Kredit: Berita Harian Online
Baca Juga: “Sekali Jela Saya Beli..”, Air Buah Cecah RM90 Ketika Bercuti Di Langkawi, Wanita Ini Serik