Para ibu pastinya akan merasa risau apabila susu badan berkurangan. Jangan terlalu risau kerana masalah tersebut boleh diatasi dengan pengambilan makanan penggalak susu yang sihat dan berkhasiat. Bahkan bukan sahaja sihat dan berkhasiat rasanya juga sangat sedap. Resepi ini bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu tetapi juga berkhasiat buat ibu bayi.
Susu Badan Kurang Atau Tak Cukup? Apa Kata Para Ibu Cuba 5 Resepi Sedap & Berkhasiat Ini!
1. SMOOTHIE EPAL BERI
Smoothie epal beri ini boleh diambil sebagai sarapan pagi atau snek minum petang. Anda boleh gunakan Yogurt Greek kerana ia adalah sumber kalsium yang hebat dan pastinya membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh yang lama.
Bahan-bahan:
- 3 cawan jus epal
- 2 biji epal, dicincang halus
- 2 pisang beku, dipotong dua
- 2 cawan beri biru beku
- 2 cawan strawberi beku
- 1⅓ cawan yogurt Greek kurang lemak
Cara penyediaan:
- Campur semua bahan dalam mesin pengisar. Kisarkan sehingga sebati.
- Tuangkan smoothie dalam bekas minuman kecil. Sejukkan semalaman dalam peti ais sehingga pekat.
- Jangan lupa goncang sebelum minum.
2. DAGING BROKOLI TUMIS
Daging brokoli tumis ini merupakan makanan yang penuh dengan nutrien yang mana dapat menyokong kesihatan ibu dan bayi. Daging lembu dapat meningkatkan tenaga dan merupakan sumber protien dan zat besi yang hebat. Brokoli pula pula adalah sumber kalsium dan vitamin A yang bagus.
Bahan-bahan:
- 500g daging lembu, dihiris nipis
- 1 sudu besar jus lemon atau limau nipis
- 2 sudu besar kicap, dibahagi 2
- 2 sudu besar minyak zaitun
- 1 sudu besar bawang putih, dicincang
- 2 sudu teh halia, dicincang
- 6 cawan brokoli
- 2 sudu besar stok ayam/ boleh gantikan dengan campuran air bersama mentega cair
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar tepung jagung dicampur dengan 1 sudu besar air
- ¼ cawan air
Cara penyediaan:
- Campurkan daging bersama jus lemon atau limau nipis bersama 1 sudu besar kicap.
- Panaskan kuali dan masukkan minyak zaitun. Ratakan seluruh permukaan kuali dengan minyak.
- Masukkan daging dan biarkan selama 1 minit sehingga bertukar kecoklatan tetapi tidak masak sepenuhnya. Keluarkan daging ke dalam pinggan dan ketepikan.
- Masukkan bawang putih dan halia ke dalam kuali, tumis selama 30 saat atau sehingga naik bau wangi. Campurkan brokoli dan tumis untuk tempoh seminit atau sehingga warnanya bertukar menjadi hijau terang.
- Kemudian, masukkan ¼ cawan air dan tutup kuali. Biarkan selama 2 minit atau sehingga brokoli menjadi lembut.
- Campurkan 1 sudu besar kicap, stok ayam dan sos tiram ke dalam kuali. Biarkan ia mendidih dan masak selama 1 minit atau sehingga perisanya bergabung.
- Masukkan daging yang telah diketepikan awal tadi ke dalam kuali. Kacau adunan air bersama tepung jagung dan masukkan ke dalam kuali. Masak hingga kuah menjadi pekat. Sedia untuk dinikmati!
3. BOOBY BITES
Snek ini bagus sebagai makanan peningkat tenaga segera. Tambahan pula ia mengandungi bahan seperti oat dan biji rami yang dapat menggalakkan susu.
Bahan-bahan:
- 1 cawan oat
- ½ cawan mentega kacang
- ½ cawan biji rami
- ⅓ cawan madu
- ½ sudu besar ekstrak yis
- 1 sudu kecil ekstrak vanila
- ½ cawan cip coklat mini
Cara penyediaan:
- Campurkan semua bahan kering: oat, biji rami, cip coklat dan ekstrak yis.
- Masukkan mentega kacang, madu dan vanila. Gaul rata.
- Sejukkan adunan untuk tempoh sejam.
- Keluarkan daripada peti ais dan bentukkan menjadi bebola kecil. Sudah boleh makan!
4. TAUHU CILI MANIS DAN BIJAN
Bagi ibu yang sedang mencari menu untuk makan tengah hari, mungkin boleh cuba idea resepi makanan penggalak susu ini. Tauhu adalah alternatif daging yang baik dan merupakan sumber kalsium. Biji bijan juga tinggi kalsium, selain menjadi sumber serat dan zat besi.
Bahan-bahan:
- 600g tauhu lembut, dibasuh dan dikeringkan
- 2 sudu besar biji bijan
- 1 sudu kecil bawang putih dicincang halus
- 2 sudu besar kicap
- 2 sudu besar sos cili manis Thai
- 1 sudu kecil minyak bijan
- ¼ cawan daun bawang, dipotong
Cara penyediaan:
- Masukkan tauhu ke dalam periuk bersama air sehingga menutupi permukaan tauhu. Masak atas api sederhana sehingga mendidih. Kemudian perlahankan api untuk mengekalkan kepanasan tauhu.
- Panaskan periuk kecil pada suhu sederhana. Masukkan biji bijan dan masak selama 2 hingga 3 minit sehingga dipanggang dengan baik.
- Tumbuk menggunakan lesung batu atau lenyekkan biji bijan yang telah dipanggang sehingga menjadi separuh serbuk. Lakukan kaedah yang sama dengan bawang putih.
- Satukan biji bijan, bawang putih, kicap, sos cili dan minyak di dalam mangkuk kecil.
- Angkat tauhu dengan berhati-hati daripada air rebusan dan potong. Letakkan di atas pinggan dan tuangkan sos yang disediakan tadi. Jangan lupa taburkan daun bawang yang telah dipotong. Sedia untuk dimakan!
5. PUDING COKLAT CHIA SEED
Puding ini sesuai dijadikan sarapan pagi yang lazat atau pencuci mulut enak. Ia juga makanan penggalak susu terbaik untuk dimakan. Makanan ini turut tinggi kandungan protein dan dapat membuat ibu berasa kenyang.
Bahan-bahan:
- 1 cawan susu lembu
- 6 sudu besar biji chia
- ¼ cawan madu
- 2 sudu besar serbuk koko
- ⅛ sudu kecil garam
- 1 sudu kecil ekstrak vanila
- Pilihan untuk topping: buah beri, cip coklat atau kacang
Cara penyediaan:
- Masukkan susu, biji chia, madu, serbuk koko, vanila dan garam ke dalam mesin pengisar. Mulakan kisaran tahap rendah sebelum menukar kepada kisaran lebih tinggi, sehingga campuran bahan-bahan menjadi halus dan sebati.
- Puding ini harus mempunyai konsistensi pekat dan ia sedia untuk dinikmati bersama pilihan topping anda.
- Jika mahukan puding yang sejuk, tuang kisaran ke bekas dengan penutup dan sejukkan dalam peti ais. Sejukkan untuk tempoh 3 hingga 4 jam sebelum dimakan.
Sumber: hellodoktor