Buat julung kalinya, Malaysia menjadi buah mulut persada antarabangsa dalam industri kopi apabila wakil dari Malaysia, Nas Jaafar berjaya muncul sebagai juara dalam pertandingan menghasilkan kopi berprestij di dunia – World Coffee Championships 2026.
Selepas memenangi Malaysian Brewers Cup pada 2025, Nas Jaafar yang mewakili Falcon Coffee (Asia) akhirnya berpeluang membawa nama Malaysia ke Brussels, Belgium untuk bertarung di dalam pertandingan dunia ini.
Menurut info, selepas melalui persaingan sengit di peringkat awal, Nas berjaya terpilih di antara enam terbaik sebelum dia menewaskan barista dari Australia, Hong Kong, Czech Republic, Korea Selatan dan Perancis untuk dinobatkan sebagai juara ulung.

Dengan biji kopi terpilih dari Panama bernama Finca Nuguo Anaerobic Natural Geisha, nampaknya persembahan seduhan barista berusia 38 tahun ini berjaya menawan hati para juri.

Mewakili Malaysia, Nas bersaing dengan barista terbaik dunia yang bukan sahaja mahir membancuh kopi, malah sangat teliti dalam membezakan rasa serta menerangkan ciri kopi yang telah dihasilkan.
Nas memulakan karier dalam dunia kopi pada 2014 dan mula bertanding di Malaysia Barista Championship pada 2019. Dalam satu temuramah Nas berkata dia mula bertanding kerana ‘ingin memajukan skil serta ilmunya.’
Sebagai info, World Brewers Cup ialah pertandingan global yang meraikan seni membancuh kopi secara manual atau menggunakan tangan. Ia dianggap antara pertandingan paling berprestij dalam dunia kopi istimewa, atau specialty coffee.

Tahniah kepada Nas Jaafar kerana mengharumkan nama Malaysia di persada antaranbangsa! Kami semua rakyat Malaysia berbangga di atas kejayaan ini.
Sumber: Seir Rashid & worldcoffeechampionships