Sebahagian besar daripada 50,000 penjaja dan peniaga kecil di negeri Kedah kemungkinan akan ‘gulung tikar’ jika mereka tidak mendapat sebarang insentif selepas terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 12 Mei hingga 6 Jun depan.
Walaupun peniaga dibenarkan beroperasi, mereka mendakwa pendapatan menyusut lebih 80 peratus kerana pelanggan tidak dibenarkan makan dan minum di dalam kedai serta restoran kecuali dibungkus untuk dibawa pulang.
Menurut Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali, kebanyakan penjaja dan peniaga kecil itu juga tidak membuka perniagaan mereka kerana tidak mahu menanggung kerugian akibat ketiadaan pelanggan dalam tempoh PKP itu.
“Kebanyakan peniaga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi apabila keuntungan harian tidak dapat menampung perniaagan mereka.
“Masa PKP 1.0 pendapatan memang menyusut dan disusuli pelaksanaan PKP 2.0, sekarang peniaga baru nak bangkit semula, namun terpaksa berhadapan dengan krisis PKP 3.0,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia