Mesti setiap wanita dan ibu, yang bekerja atau surirumah tentu akan menghadapi masalah yang sama setiap kali nak masak.
Kesuntukan masa atau tak tahu nak masak apa.
Sebenarnya, jika anda bijak menguruskan bahan, anda boleh memasak dengan cepat sekali.
Disini saya kongsikan 7 tips yang sangat berguna daripada perkongsian Puan Rajenaz Nazira.
Semua ayam, udang, sotong disiang dan dibasuh siap-siap kecuali ikan. Ikan jangan dibasuh. Siangkan sahaja, kalau basuh, ikan akan jadi cepat rosal walaupun dibekukan.
Seperkara lagi, jangan bekaskan ikut jenis sahaja. Tapi kena bahagikan juga ikut kuantitinya. Contohnya, kalau sekali masak kita akan guna 4-5 ekor ikan, jangan simpankan 10 ekor ikan sekaligus dalam satu bekas. Sebabnya, apabila kita defrost, sebaik-baiknya terus masak. Jangan asyik keluar masuk peti sejuk sebab ia tak elok dan boleh mengundang toksik.
Nampak tak bekas-bekas saya. Mula-mula tergugat juga nak pakai Tupperware, tapi memandangkan banyak lagi tempat saya boleh salurkan peruntukan tersebut. Saya guna bekas ini saja. Yang penting, bekas transparent ini mudah untuk kenal pasti kandungannya. Kalau rajin, boleh labelkan untuk mempercepatkan lagi proses memilih bahan.
Pengasingan semua bahan memasak amat penting bagi mengekalkan kuantiti serta memperpanjangkan tempoh ketahanan.
Setiap hujung minggu saya akan kopek bawang merah, bawang besar, dan bawang putih. Ingat ya, bawang merah dan bawang besar bersifat penyerap bakteria (sebab itu kita boleh gunakan sebagai alternatif untuk rawat demam panas dan selsema). Jadi kalau kopek kulit, kena terus masukka dalam bekas tertutup dan masukkan dalam peti ais.
Bila nak masak, ambil ikut keperluan untuk ditumbuk atau dihiris. Tak payah buang masa lagi nak kopek kerana ia sebenarnya melambatkan proses memasak.
Menumis cili kisar prosesnya memang leceh. Mana tidaknya, kalau menumis habislah dinding dapur merecik, nak kena lap sana sini dan ianya ambil masa yang agak lama juga. Kalau betul-betul masak, barulah boleh menghasilkan masakan yang sedap.
Jadi, siapkan cili kisar yang dah siap tumis mengikut kuantiti seminggu terus (atau yang sesuai dengan kekerapan memasak kita). Bila dah tumis dan dah terbit minyak, bekaskan untuk disimpan dalam peti ais.
Kalau peti ais bawah, paling lama boleh simpan seminggu saja ya.
Kalau banyak, simpanlah sebahagian dalam ‘freezer’I, boleh tahan sampai 3 bulan. Bila nak masak, ambil cili yang dah bertumis.
Mudah dan cepat.
Sayur ini masalahnya cepat layu dan rosak. Apa kita boleh buat, lepas beli sayur, basuh dan rendam dengan air garam untuk lebih kurang 5 minit. Kemudian toskan dan masukkan ke dalam bekas. Proses ini boleh melanjutkan tempoh kesegaran sayur.
Bila nak masak ambil terus dari bekas. Cara ini boleh menjimatkan masa juga sebab tak payahlah kita nak beli sayur setiap hari.
Ini yang paling penting. Senaraikan menu makanan dalam seminggu. Tulislah senarai untuk ditampal di peti ais, smart phone atau mana-mana kertas. Percaya atau tidak, kita sebenarnya banyak buang masa memikirkan apa yang kita nak masak.
Jadi, buatlah perancangan awal sambil ‘share’ resepi-resepi dalam Facebook.
Bila nak mula memasak, semak senarai menu dan buat pilihan. Kalau yang bekerja, balik saja buka pintu rumah – jangan tanggal tudung, jangan tukar baju, jangan duduk-duduk lagi. Pergi defrost lauk DAN masak nasi.
Ingat, 2 perkara inilah yang paling ambil masa. Lepas dah buat 2 perkara ini, bolehlah pergi buat apa yang patut dan bersedia untuk masak lauk.
Macam 2 lauk ini, saya dapat siapkan dalam masa 20 minit. Sup sayur dengan fish cake untuk anak-anak. Ayam masak kicap cili kering (agak complicated sebab ayam dan kentang saya goreng asing dulu dan baru masukkan).
Dengan tips memasak cepat ni, pasti akan cepat siap masak. Paling lama, 30 minit. Dan sinki pun akan bersih.
Jom cuba!