Anggur jenis ‘Shine Muscat’ biasanya menjadi rebutan ramai apabila dimakan kerana isinya yang pejal dan rasanya yang sedap.
Terbaharu, seorang wanita berkongsi pengalaman ketika makan anggur jenis tersebut yang membuatkan dia dan keluarga batuk-batuk walaupun ia sudah dicuci.
Kenyataan wanita tersebut muncul apabila ada laporan yang menyatakan bahawa anggur ‘Shine Muscat’ mempunyai bahan kimia berbahaya.
“Adakah ini punca batuk dan demam bila makan anggur ini? Kita suka, selalu beli. Selalu perasan satu family jadi batuk-batuk lepas makan walaupun dah cuci bersih-bersih,” kata Sarini Zainal melalui akaun X miliknya.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyiasat dan membuat pemeriksaan anggur import jenis ‘Shine Muscat’ yang dikatakan mengandungi sisa kimia berbahaya sebagaimana dakwaan agensi Thailand.
Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada agensi berkaitan termasuk MARDI untuk membuat pengesahan.
Sekiranya benar anggur berkenaan mempunyai kandungan sebagaimana yang didakwa, pihaknya akan membuat pengumuman dan tindakan susulan akan diambil.
“Bagaimanapun setakat ini kita tidak menerima aduan berhubung perkara ini. Pengesahan isu ini akan dibuat.
“Kita amat teliti berhubung perkara ini kerana ia membabitkan soal kesihatan dan pemantauan berterusan akan dilakukan. Jika dikesan mengandungi bahan kimia berbahaya, kita akan ambil tindakan susulan,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Kumpulan Pengguna Air (KPA) IADA Kemasin Semerak, hari ini.
Sebelum ini, Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN) memberi amaran berhubung pencemaran anggur Shine Muscat, selepas mendapati kebanyakan sampel yang dikumpulnya mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum yang dibenarkan.
Thai-PAN dan Majlis Pengguna Thailand (TCC) menggesa Kementerian Kesihatan Awam untuk mengambil tindakan segera, termasuk mengarahkan pengimport dan pengedar untuk melabel negara asal anggur Shine Muscat yang diimport.
Anggur Muscat adalah anggur varieti Eropah yang berukuran besar, berbiji emas kehijauan, dengan rasa manis dan aroma yang lembut.
Selain terus dimakan, anggur Muscat biasanya diolah untuk menghasilkan wain atau dijadikan kismis.
Anggur ini yang juga dikenal dengan nama Muscatel, Moscato, dan Moskatel ini berasal dari Itali dan spesiesnya mencakup lebih dari 200 varieti.
Buah anggur ini bersaiz sederhana hingga ke besar, buahnya pula berbentuk bujur hingga ke oblong. Buahnya mempunyai kulit yang licin, berkilat dan berwarna dari hijau cerah (agak kekuningan) hingga warna kemerahan dan kental pada sentuhan.
Isi buahnya jernih dan tidak berbiji, walaupun ada beberapa buah anggur mungkin mengandungi biji kecil yang tidak dapat dikesan apabila dimakan.
Rasa anggur Muscat ini adalah rangup dan manis serta berbau harum wangi.
Khasiat anggur muscat
* Anggur Muscat adalah sumber vitamin C, A, dan K.
* Anggur ini dapat membantu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan fungsi jantung secara keseluruhan.
* Kajian menunjukkan bahawa memakan anggur dapat membantu mencegah pembekuan darah, dan menghalang pengoksidaan kolesterol LDL buruk, serta mengurangkan risiko penyakit jantung.
* Resveratrol yang terdapat di kulit angor dapat membantu keradangan, yang merupakan berita baik bagi penghidap artritis.
* Anggur membantu mencegah degenerasi makula, mengurangkan kerosakan pundi kencing pada lelaki dengan prostat yang membesar dan mencegah osteoporosis.
Mungkin disebabkan nutrien khasiat tambahan pada anggur Muscat menjadikannya sangat mahal. Di samping proses penghasilan yang eksklusif, kerana itu pembungkusan juga rapi dan cermat.
Rasa juicy, rangup dan tidak terlalu manis serta rupa yang cantik dan bersih memang buat kita tertawan.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: