Kalau di Malaysia, IKEA sudah menjadi tempat wajib untuk kita memburu makanan berbanding membeli perabot. Hal ini kerana mungkin penawaran portion makanan yang besar dengan harga yang berbaloi.
Menerusi Threads, seorang wanita berasal dari Sweden meluahkan rasa terkejut dengan fenomena warga tempatan yang memenuhi medan selera gedung IKEA.
Difahamkan dia sudah dua bulan tidak dikelilingi oleh makanan dari negara asalnya. Perkara ini tidak menjadi masalah buatnya namun selepas melihat logo IKEA telah menarik perhatian untuk merasai makanan tradisi negara asalnya.
Namun, alangkah terkejut buat dirinya apabila melihat lautan manusia memenuhi ruangan makan di IKEA yang dikunjungi baru-baru ini.
“Mari saya beritahu kamu yang diri ini sangat terkejut. Tidak pernah dalam sepanjang hidup saya melihat orang seramai ini menikmati makanan di IKEA,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia sempat mendedahkan dirinya sudah jatuh cinta dengan ‘chicken wing’ dan popia yang ditawarkan dalam menu di Malaysia.
Malah, dia mahukan dua sajian dari IKEA Malaysia ini dimasukkan secara rasmi ke dalam penawaran menu IKEA di negara asalnya.
Menjengah ke ruangan komentar, netizen tempatan mendedahkan sebab rakyat Malaysia gemar makan di gedung IKEA kerana penawaran sejumlah sajian makanan yang sedap dan menyelerakan.
Hal ini terbukti apabila pada hari kerja sekalipun tempat makan di gedung IKEA masih dipenuhi warga tempatan malah apatah lagi di hujung minggu.
Menariknya, ada juga yang mendedahkan jika sajian terkenal seperti bebola daging di Malaysia jauh lebih sedap berbanding di cawangan IKEA luar negara.
Wanita Swedeen ini juga teruja untuk mencuba karipap pada masa kelak selepas diberitahu kesedapannya oleh netizen tempatan.
Sumber: Hanypeterson