Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 728K followers
  • 316K followers
  • 102.1K Followers
Home » Berita » Peniaga Sedekah 2 Tan Ikan Segar Sehari Bantu Mangsa Banjir, Raih Puji Orang Ramai

Peniaga Sedekah 2 Tan Ikan Segar Sehari Bantu Mangsa Banjir, Raih Puji Orang Ramai

Kategori: ,
peniaga sedekah

Peniaga ikan di sini mengagihkan kira-kira dua tan hasil laut secara percuma setiap hari untuk dimasak di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Mohamad Nazri Abdul Aziz, 32, berkata hasil laut segar seperti ikan gelama, kerisi, tongkol, udang dan sotong itu, diagihkan untuk dimasak kepada mangsa banjir sejak tiga hari lalu, atas niat sedekah untuk Allahyarham bapanya, Abdul Aziz Daud dan abangnya, Mohamad Azuwan.

Beliau – peniaga sedekah yang juga pemilik ‘Yie Pasar Segar Kubang Kerian 99’ berkata setiap hari hasil laut bernilai RM5,000 diagihkan untuk tujuan berkenaan, dengan bekalan diperoleh dari Perak menerusi kerjasama dengan beberapa pemillik bot serta peniaga ikan.

Ikan Segar Diberi Kepada Masjid & PPS Yang Memerlukan

peniaga sedekah

“Ikan segar diberikan kepada PPS dan masjid yang memerlukan, kemudian terserah kepada mereka untuk memasak secara bergotong-royong atau melantik mana-mana tukang masak.

“Setakat ini saya sudah hantar ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Chondong, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, PPS SK Machang 1, PPS SK Machang 2, PPS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, PPS SK Badang, PPS SMK Melor dan Masjid Tapang Kota Bharu serta beberapa PPS di Tumpat hari ini,” katanya kepada Bernama di PPS SMK Melor di sini hari ini.

Makanan Laut Tiba Di Kubang Kerian Jam 3 Pagi, Diagihkan Ke Enam Hingga Tujuh PPS

peniaga sedekah

Beliau berkata bekalan makanan laut itu tiba di Kubang Kerian pada kira-kira jam 3 pagi dan kemudian diagihkan ke enam hingga tujuh PPS di Kota Bharu, Machang dan Tumpat dengan setiap PPS menerima ikan sebanyak kira-kira 200 kilogram.

Mohamad Nazri berkata, jumlah ikan dan makanan laut segar itu diberikan apabila ada wakil PPS atau masjid memaklumkan keperluan dengan jumlahnya bergantung kepada bilangan penghuni.

Beliau berkata, pemberian ikan segar dan makanan laut secara percuma kepada mangsa banjir di Kelantan itu sudah memasuki tahun ketiga, yang diberikan atas simpati kepada nasib mereka yang terpaksa berpindah ke PPS.

Sumber: Bernama

Baca juga: Khairul Aming Boleh Ambil Barang Di Mydin Bantu Mangsa Banjir – Boss Mydin

tags: |