
Harga beras putih import (BPI) diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berkuat kuasa pada Khamis.
Menerusi kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan tersebut merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember tahun lalu daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
“Pelarasan ini adalah hasil sesi libat urus bersama Bernas dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
“Program subsidi BPI bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa,” katanya pada Rabu.
Ujar beliau, langkah proaktif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh dan sentiasa mencukupi.
“Kejayaan Harga Beras Putih turun ini adalah hasil pendekatan strategik Bernas dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal,” jelas Mohamad.
Tambahnya, KPKM akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar-dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara.
Sumber: Sinar Harian