Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 728K followers
  • 316K followers
  • 102.1K Followers
Home » Berita » ‘Tak Masuk Akal Buah Import Asas Dibeli B40 Juga Kena SST’ – Bos Mydin

‘Tak Masuk Akal Buah Import Asas Dibeli B40 Juga Kena SST’ – Bos Mydin

Kategori: ,

Menurut Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, kerajaan wajar membuat penilaian yang lebih teliti sebelum melaksanakan SST berkenaan.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengenakan cukai kepada orang ramai termasuk rakyatnya seperti cukai pendapatan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai tanah dan lain-lain.

Hasil daripada cukai-cukai ini akan digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus negara selain digunakan bagi perbelanjaan pembangunan.

Bagaimanapun, ada sesetengah cukai khususnya yang baru diperkenalkan menerusi peluasan SST yang akan bermula pada 1 Julai ini dilihat kurang digemari segelintir rakyat Malaysia.

Tak masuk akal kerajaan kenakan SST ke atas buah import – bos Mydin

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah-buahan import sebagai sesuatu yang ‘tidak masuk akal’.

Menurut ahli perniagaan berusia 69 tahun itu, hal ini kerana ada antara buah-buahan import tersebut turut digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

Ujarnya, buah-buahan seperti epal, oren dan pisang sering dikaitkan dengan amalan pemakanan yang sihat. Maka buah-buah seperti itulah yang menjadi pilihan sebagai buah tangan jika melawat seseorang yang uzur di hospital.

Jelas Ameer, susulan itu ia menunjukkan bahawa produk pertanian sebegitu penting kepada masyarakat, termasuk golongan B40.

“Saya memang tak setuju dan tak masuk akal jika buah asas macam epal, oren, pisang dan lain-lain kena SST. Semua ni makanan (golongan) B40,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Epal, oren dan pisang memang ada dihasilkan di dalam negara, namun tidak cukup

buahan tempatan

Walaupun ada hujah mendakwa buah-buahan sebegitu turut dihasilkan di dalam negara, Ameer berkata, pengeluaran semasa di Malaysia masih tidak mencukupi sehingga ia perlu diimport.

“Pisang, contohnya memang ada sumber tempatan, tetapi bekalan tidak mencukupi. Sebahagian besar daripadanya juga diimport. Pisang ini sama seperti epal dan oren  yang dianggap sebagai makanan asas rakyat, khususnya golongan B40.

“Ketika ini walaupun buah-buahan seperti epal dan oren diimport, harganya tidak terlalu mahal dan menjadi pilihan ramai, termasuk golongan berpendapatan rendah.

“Jadi, buah-buahan ini boleh kita anggap sebagai ‘buah-buahan rakyat’ seumpama istilah ‘ikan rakyat’ yang biasa kita guna. Oleh itu, janganlah kita kenakan SST untuk buah-buahan rakyat,” katanya.

Kerajaan wajar buat penilaian yang lebih teliti

buahan tempatan

Menurutnya lagi, Putrajaya wajar membuat penilaian yang lebih teliti sebelum melaksanakan peluasan SST berkenaan.

Contohnya mengasingkan buah-buahan yang dikategorikan sebagai ‘buah rakyat’ dengan buah-buahan mewah yang memang hanya dinikmati segelintir orang.

“Kalau mereka betul-betul nak mengenakan SST, baik mereka asingkan dari segi buah-buahan rakyat dengan buah-buah bukan rakyat,” katanya.

Ameer turut memberi amaran bahawa pelaksanaan SST ke atas buah-buahan sebegitu hanya akan menyebabkan harga produk tersebut melambung naik dan akhirnya akan menekan pengguna.

“Kalau kita gunakan SST untuk epal, oren, dan pisang mampuslah semua orang, harga akan naik,” ujar Ameer.

SST terhadap buah import Anwar umum dalam pembentangan Belanjawan 2025

Pada pembentangan Belanjawan 2025 tahun lalu, kerajaan mengumumkan peluasan SST sebanyak 5% terhadap beberapa kategori buah-buahan import.

Pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan itu telah meraih perhatian ramai selain menimbulkan kebimbangan ia akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata SST baharu ini akan berkuat kuasa 1 Julai ini dan berjanji ia akan bersifat lebih progresif dan tidak akan membebankan rakyat biasa.

Bakal buka peluang kepada pengukuhan industri buah-buahan tempatan

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pelaksanaan SST ke atas buah-buahan import itu bakal membuka peluang besar kepada pengukuhan industri buah-buahan tempatan di Malaysia.

Kata Sheikh Umar, langkah kerajaan itu bukan sahaja mampu meningkatkan hasil negara, malah memberi nafas baharu kepada pembangunan industri buah-buahan negara seperti nanas, lapor Sinar Harian.

Sumber: Malaysiakini

Baca juga: Hanya Buahan Tempatan Import & Dikilangkan Yang Dikenakan Cukai SST, Buahan Tempatan Ditanam Dalam Negara Tak Kena Cukai Jualan 

tags: | |