
Sebuah video yang sedang tular berkenaan pasangan suami isteri yang dipercayai antara mangsa tragedi di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini menyentuh hati orang ramai.
Menerusi video yang dikongsikan oleh akaun Orang Bisnes di laman TikTok, video inspirasi peniaga lokal berniaga itu antara salah satunya adalah video tentang suami isteri itu menjual roti canai.
Dalam video berkenaan, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, berkata, dia bersama suaminya berniaga Nurulzim Roti Canai di medan selera tepi hospital lama Alor Setar.
“Kami sudah lama berniaga roti canai. Kami pun pindah randah banyak tempat dah.
“Sekarang ini kami meniaga di medan hospital Alor Setar lama, sebelah sungai.
“Gerai kami bukan sekadar roti canai je lah. Kami jual macam-macam. Tosai, capati, banggali pun ada.
“Kalau nak roti sardin ke roti dol ke kita boleh buat. Nak banjir pun boleh. Macam mana pun boleh,” katanya.
Menurutnya, doh roti canai dibuat dan diuli sendiri.
“Orang Alor Setar ini kalau nak mari makan roti canai, kena pedas sikit kuah dia. Mereka boleh ‘lajak’ makan kan.
“Pelanggan kami banyak staf hospitallah dan juga orang yang datang hospitallah,” katanya.
Katanya, roti canai dijual dengan harga murah RM 1.20 sekeping.
“Tak mahal sangat. Kami jual di sini pun murah je.
“Orang berniaga ini ada dua jenis. Satu, memang khusus nak kayalah. Satu lagi, cuma nak sambung kehidupan.
“Kami yang kedualah. Janji dapat teruskan kehidupan,” katanya.
Kata-kata yang disampaikan dalam video berkenaan menyentuh hati orang ramai dan terkesan kebaikan di dalam dirinya.
Melihat ruangan komen, ramai yang terkesan dengan kata-kata yang disampaikan dalam video dan berdoa agar mereka sekeluarga yang telah pergi sentiasa tenang di sana.
Sumber: Orang Bisnes
Baca juga: “Kelantan Mendunia” – Keluarga Ini Raih Lebih RM2 Juta Dengan Jual Nasi Kerabu Di London