Pempengaruh dan usahawan terkenal, Ashhry Atan meraikan kejayaan cawangan pertama Restoran Ashhryshoshedap di Nongchik Riverside, Johor Bahru, Johor yang menerima pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan menjamu hampir 1,000 pengunjung menikmati sarapan secara percuma.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja menjadi simbol kesyukuran atas pencapaian tersebut, malah sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang tidak putus-putus memberikan sokongan sejak restoran itu mula beroperasi.
![]()
Menurut Ashhry, inisiatif sarapan percuma itu merupakan salah satu cara untuk berkongsi rezeki selain meraikan kejayaan yang dianggap cukup bermakna dalam perjalanan perniagaan makanan dan minumannya.
“Alhamdulillah, hari ini saya mengadakan program sarapan percuma untuk orang ramai sempena meraikan kejayaan Ashhryshoshedap memperoleh sijil halal daripada JAKIM.
“Saya mahu berkongsi berita gembira ini dengan pelanggan dan semua pihak yang sentiasa menyokong kami sejak awal pembukaan restoran sehingga sekarang.
“Bukan mudah untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang ramai. Dalam perniagaan makanan dan minuman, kita perlu sentiasa menjaga kualiti makanan serta perkhidmatan yang diberikan.
“Kalau tidak konsisten, memang sukar untuk bertahan.
“Jadi, program ini adalah salah satu cara saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus menyokong Ashhryshoshedap,” katanya.
![]()
Dalam masa sama, Ashhry berkata dia juga bakal memberikan potongan 50 peratus untuk setiap makanan, minuman dan manisan di dua cawangan restoran miliknya sempena menyambut ulang tahun kelahiran pada 21 Oktober ini.
Mengulas kepentingan pensijilan halal, Ashhry berkata, pengiktirafan rasmi daripada JAKIM itu menjadi antara keutamaannya bagi memastikan pelanggan lebih yakin terhadap makanan yang disediakan di restorannya.
Jelasnya, meskipun beliau seorang Muslim, perkara tersebut tidak bermakna aspek pensijilan halal boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diberikan perhatian secara menyeluruh.
“Bagi saya, sijil halal memang sangat penting. Walaupun saya sendiri seorang Muslim, saya tetap mahu mendapatkan pensijilan halal supaya pelanggan lebih yakin untuk menikmati makanan di restoran kami.
“Halal bukan sekadar makanan yang dihidangkan, tetapi turut melibatkan bahan mentah, proses penyediaan dan aspek kebersihan.
“Kami mahu memastikan setiap hidangan bukan sahaja halal, malah bersih dan baik untuk pelanggan, selaras dengan konsep halalan toyyiban,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ashhry mengakui proses mendapatkan pensijilan halal berkenaan memerlukan penelitian yang tinggi memandangkan restorannya menawarkan hampir 300 pilihan menu merangkumi minuman, hidangan utama dan pencuci mulut.
![]()
Katanya, setiap bahan yang digunakan perlu melalui proses semakan, selain pihak restoran turut bertanggungjawab menyediakan pelbagai dokumen sokongan termasuk sijil halal daripada pembekal.
“Proses mendapatkan sijil halal memang mengambil masa kerana kami mempunyai hampir 300 pilihan menu termasuk minuman, makanan utama dan pencuci mulut.
“Setiap bahan yang digunakan perlu disemak satu per satu. Kami juga perlu mengumpulkan dokumen dan sijil halal berkaitan daripada pembekal.
“Memang banyak perkara yang perlu diteliti, tetapi Alhamduliah, segala usaha dan komitmen itu akhirnya membuahkan hasil,” jelasnya.
![]()
Sementara itu, bercakap mengenai perancangan masa depan, Ashhry yang kini mempunyai dua cawangan Ashhryshoshedap berkata, beliau mahu memberikan tumpuan terhadap pengukuhan operasi sedia ada sebelum meneruskan rancangan pengembangan perniagaan.
“Buat masa sekarang, saya mahu fokus menjaga dua cawangan yang sudah beroperasi terlebih dahulu.
“Saya mahu memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan kami sentiasa konsisten. Kalau semuanya berjalan lancar, insya-Allah dalam tempoh dua tahun lagi saya merancang untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.
“Harapan saya supaya lebih ramai orang berpeluang menikmati makanan Ashhryshoshedap,” katanya.
Untuk rekod Julai lalu Ashhry membuka cawangan kedua restorannya di Tanjung Puteri, Johor Bahru, Johor.