Buah merupakan antara makanan semulajadi yang sangat berkhasiat untuk tubuh badan manusia. Selain rasanya yang sedap, setiap buah juga mempunyai vitamin dan kebaikannya yang tersendiri. Buah seperti anggur, pisang, beri dan apel merupakan antara buah yang sangat mudah untuk didapatkan di pasaran.
Namun setiap kali membeli pastinya kita akan membeli dalam kuantiti yang banyak terus. Apa yang menjadi masalah apabila membeli dengan kadar yang banyak adalah buah tersebut menjadi cepat lebam. Nak tahu cara penyimpanan buah-buahan agar kekal lama dan tak mudah lebam? Jom kita ikuti perkongsian di bawah ini.
Teknik penyimpanan agar buahan tahan lama dan kekal segar bagi beberapa jenis buah-buahan adalah berbeza. Salah satu tipsnya adalah anda boleh gunakan cara seperti merendamkan buah-buahan dalam rendaman cuka. Kemudian bilaskan buahan tersebut dengan air bersih dan keringkan. Setelah itu simpankan buah-buahan tersebut dalam kotak yang dilubangkan dan masukkan ke dalam peti sejuk.
Bagi buah anggur, cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah dengan cara mengantungkan buah tersebut di tempat kering, dingin dan gelap dan jangan biarkan ianya terdedah dengan cahaya berlebihan, namun kekalkan pengudaraan yang baik untuk anggur. Kebiasaannya, anggur yang tahan lama adalah anggur yang tidak terdedah dengan air selama satu setengah bulan sebelum dipetik, ia akan lebih tahan lama berbanding sebaliknya.
Bagi buah tomato pula, ia perlu disimpankan bersama tingkai yang dihalakan ke atas jika masih muda. Elakkan diletakkan secara banyak dan terhimpit, letakkan di tempat yang sejuk sehingga ia bertukar warna kemerah-merahan. Jika tomato disimpan ketika sudah masak, sebaiknya ia disimpan dalam suhu bilik dan jangan bagi ia bertindih antara satu sama lain. Ini kerana ia akan menyebabkan buah tomato mudah lembik dan berbau busuk.
Buah epal hendaklah disimpan di tempat yang sejuk dan elakkan bertindih antara satu sama lain dengan epal yang sudah rosak atau lebam. Sebelum anda menyimpan epal, anda perlu membungkus epal dengan menggunakan kertas dengan tangkainya menghala ke atas di simpan dalam peti sejuk di ruangan yang sejuk dan gelap.
Bagi penyimpanan buah beri, anda boleh mencampurkan cuka epal dan air dengan sukatan 1:10, kemudian masukkan buah-buahan beri ke dalam campuran bahan tersebut. Setelah dibiarkan seketika, toskan air tadi dan simpan buahan beri dalam mangkuk dan dilapik dengan kertas lalu disimpan dalam peti sejuk. Teknik ini sangat membantu bagi memastikan buahan beri lebih tahan lama dan kekal segar untuk tempoh yang lama.
Selain itu, buah pisang juga dapat disimpan dan tahan lama jika bahagian hujung pisang tersebut dibalutkan dengan pembalut plastik. Ia akan kekal dan tahan lama untuk tempoh 3-5 hari dari kebiaasaanya. Yang penting, anda perlu asingkan buah pisang dengan buahan yang lain.
Mudah sahaja kan cara untuk menyimpan buah-buahan tersebut agar kekal segar. Mungkin sudah ada dalam kalangan anda yang mencuba cara atau tips di atas ini. Yang belum cuba lagi tu, bolehlah mencubanya selepas ini ya.
Sumber rujukan: Butterkicap @ Sakinah Ahmad
Baca juga: Tips Simpan Cili Padi Supaya Tahan Lama, Lebih Sebulan Pun Masih Elok & Tidak Busuk!