Disebabkan COVID-19, ekonomi negara merosot. Banyak sektor yang terjejas, bukan sahaja sektor penerbangan malah sektor pelancongan seperti Zoo Negara juga turut terjejas teruk. Sungguh mengejutkan lagi adalah Zoo Negara kemungkinan akan ditutup kerana kekurangan dana.
Terbaharu, Zoo Negara dikhabarkan hanya mampu bertahan sehingga April ini sahaja memandangkan bekalan kewangan tidak mencukupi. Menurut Rosly Ahmat Lana, Timbalan Presiden Zoo Negara, setakat ini pihaknya masih mampu bertahan dan mampu menampung kos operasi termasuk keperluan makanan haiwan serta gaji pekerja.
Namun akan berdepan dengan masalah kewangan jika PKP dilanjutkan untuk tempoh lebih panjang kerana dana yang ada ketika ini hanya mencukupi bagi kos operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal berakhir 18 Februari ini.
Jika PKP masih dilanjutkan, pihak Zoo Negara terpaksa merayu kepada kerajaan supaya memberi kebenaran beroperasi atau mencari kaedah lain bagi membantu pertahankan Zoo Negara. Hasil pendapatan Zoo Negara yang mana sebelum ini bergantung kepada jualan tiket terjejas kerana tidak dibuka sepanjang PKP.
Lebih menyedihkan lagi adalah Zoo Negara juga kurang menerima sumbangan seperti makanan haiwan sejak PKP dilaksanakan tahun ini berbanding PKP tahun lepas. Untuk pengetahuan anda, kempen haiwan angkat yang dilancarkan Zoo Negara pada tahun lalu masih lagi diteruskan namun sambutannya sudah berkurangan.