Nasi lemak merupakan sajian tradisi Malaysia yang menjadi pilihan hampir semua kaum di negara ini. Bukan itu sahaja, keenakannya telah menarik perhatian pelancong dan pekerja dari luar negara.
Bagi mereka, nasi lemak mempunyai keunikan tersendiri yang tidak boleh ditemui di tempat lain sehingga dikenali di luar negara.
Seorang warga Indonesia, Syaifullah atau lebih dikenali sebagai Epul pernah bekerja di Malaysia selama 10 tahun. Dia sangat tertarik dengan keenakan nasi lemak sehingga telah menjalankan perniagaan menu itu di negaranya.
Dia juga menggunakan saluran Youtube, Epul Indo M’sia untuk memperkenalkan perniagaan nasi lemak yang dijalankan di Indonesia sehingga pernah mendapat 500, 000 tontonan.
Menurut Epul, hidangan itu antara yang paling dirindui apabila pulang ke Trenggalek, Indonesia awal tahun lepas. Oleh sebab itu, pada September tahun lalu, dia dan isteri telah merancang untuk menjalankan perniagaan nasi lemak di sana.
Untuk mengekalkan keaslian nasi lemak Malaysia, dia dan isteri menggunakan resepi yang dikongsikan oleh seorang warga Malaysia melalui mesej di media sosial.
Pada hari pertama berniaga di hadapan sebuah sekolah, Epul tidak menyangka jualannya itu akan mendapat sambukan yang menggalakkan.
“Biarpun ramai yang masih tidak mengenali nasi lemak, dalam tempoh tidak sampai satu jam semua nasi lemak habis terjual,” katanya.
Rata-rata pelanggan menyukai nasi lemak kerana rasa sambal bilis yang berbeza dengan nasi gurih yang terkenal di sana. Boleh dikatan, ia kena dengan cita rasa masyarakat di sana.
Selepas sebulan berniaga, dia telah menerima banyak permintaan dari masyarakat di sana. Kini dia dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan dalam masa terdekat disebabkan oleh sambutan yang mengalakkan.
Sumber: Harian Metro