Pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memberi kesan kepada banyak sektor ekonomi. Ramai yang telah kehilangan pekerjaan dan peluang kerja juga sukar untuk didapati.
Disebabkan itu, ramai yang terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari rezeki. Salah satunya adalah menjadi seorang penghantar makanan. Selagi masih mempunyai tubuh badan yang sihat, jangan berkira untuk melakukan apa sahaja pekerjaan.
Tak terkecuali, ramai juga golongan OKU yang menjadi seorang penghantar makanan. Seperti kisah perkongsian oleh Bonda Nor ini. Dia berkongsikan pengalamannya memesan menggunakan aplikasi Grab Food. Baca perkongsian lengkap di bawah.
Hari ni terasa sangat nak makan Yong Tau Fu. Laju tangan order guna Grab Food. Ikut sistem, dah dapat rider dan patutnya sampai pukul 6.15 tapi sampai 6.45 tak sampai-sampai.
Geramlah juga sebab tak suka buka pintu rumah kalau dah nak maghrib. Antara jam 6.15 ke 6.45 tu, banyak kali dapat call daripada nombor yang sama.
Memang biasanya saya tak angkat call kalau nombor tak dikenali. Tapi sebab ni tengah tunggu Grab Food kan, terpaksalah angkat juga takut rider susah nak cari rumah.
Angkat, senyap. 5 minit lepas tu, dia call lagi. Saya angkat, senyap. Ya, berulang kali jadi macam tu. Makin geramlah pulak! Main-main ke apa dia ni!
Lebih jam 7 malam, tergerak hati nak cek mesej kat Grab order tu. Ya Allah, terus sebak teramat! Bergenang air mata.
Rupa-rupanya rider tu pekak dan bisu. Rupa-rupanya, banyak kali dia mesej saya tanya lokasi rumah nak hantar. Dia siap bagitau dia pekak dan dia bisu. Tapi saya tak semak inbox. Saya tak baca. Saya tak tahu masalahnya!
Dia call banyak kali tu sebab nak tarik perhatian saya suruh cek inbox rupa-rupanya. Allahu Rabbi. Hampir sejam dia berpusing-pusing cari lokasi nak hantarkan makanan yang saya teringin nak makan.
Langit dah semakin gelap, tapi dia masih tak tahu kat mana nak hantar makanan yang customer order. Tapi dia tetap setia tunggu dan mencuba.
Padahal bukannya banyak pun upah hantar tu cuma RM3 saja. Tapi seksanya dia nak dapat rezeki banyak tu. Saya sebak! Rasa bersalah sungguh!
Sebelum sistem close, sempat tangan saya tekan tips for rider untuk tebus rasa bersalah ini. Bagi dia nilai tips paling tinggi yang ada di situ, tapi tetap rasa tak cukup. Tetap juga rasa bersalah terlalu mencengkam hati.
Moga Allah ampuni salah sangka saya dan limpah ruahkan rezeki buat adik Grab Food tadi. Itulah kita manusia, kadang mudah berprasangka, hanya fikir apa yang kita nak tanpa fikir apa masalah orang.
Saya tulis kat sini untuk jadi peringatan pada saya lain kali. Mana tahu jadi pada tuan puan pula suatu hari nanti, tidaklah tuan puan lakukan kesilapan yang sama macam saya hari ini.
Yang kadang kita ingat salah orang, rupa-rupanya salah sendiri. Allahu Rabbi.
Kredit: Bonda Nor