Kopi merupakan antara minuman yang paling disukai oleh masyarakat dunia. Kalau sebut pasal kopi pastinya yang muncul di kepala adalah Nescafe, Ali Cafe, Starbucks Coffee Bean dan sebagainya. Pastinya memang ramai penggemar kopi, tidak kira sama ada kopi pracampur atau lain-lain.
Tapi tahukah anda bahawa kopi ini pernah dijumpai d Habsyah (Ethiopia). Kopi ini diminum oleh para sufi bermula di al-Mukha, Yaman. Mereka minum kopi supaya tidak tidur dan boleh berzikir sehingga lewat malam. Dari nama al-Mukha itulah lahirnya Mocca.
Pada tahun 1511 masihi, kopi telah dibawa masuk ke Mekah tetapi Ulama’ di Mekah telah mengharamkan dan ianya telah disokong oleh majoriti ulama’ sunni. Sehingga khalifah Uthmaniyah yang pertama, Sultan Salim juga turut mengharamkan kopi pada tahun 1517.
Pengharaman kopi tidak setakat di Mekah sahaja tetapi turut merebak di kawasan lain. Sultan Salim juga pernah menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang meminum kopi di Mesir.
Mereka berpandangan kopi itu seakan arak kerana beranggapan ia menyebabkan peminumnya kurang waras kerana mampu tidak tidur yang mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan. Selain itu mereka juga melakukan bidaah dengan meminum kopi setiap Isnin dan Jumaat sambil berzikir.
Walau bagaimanapun, pengharaman kopi adalah bersifat sementara. Pada tahun 1524, Sultan Sulaiman telah mewartakan bahawa kopi telah dihalalkan. Berdasarkan kajian yang dilakukan pada ketika itu, kopi mampu memberikan kesegaran badan untuk melakukan ibadah pada malam hari.
Hal tersebut telah merancakkan semula industri berasaskan kopi dalam tamadun Islam sehingga kedai kopi (kafe) pertama di dunia diwujudkan di Turki pada tahun 1554 Masihi. Ianya kemudian dikembangkan secara meluas sehingga tersebar ke dunia Eropah pada abad ke-17.
Pengharaman kopi ini bukan sahaja berlaku di dunia Islam malah ianya juga turut berlaku dalam dunia Kristian di Eropah. Pada tahun 1600, Paus Klemens VIII di Rom telah mengeluarkan larangan meminum kopi bagi penganut Kristian. Hal tersebut adalah kerana kopi merupakan budaya luar yang dapat mengancam tradisi mereka.
Paus Klemens juga berpendapat bahawa kopi merupakan minuman yang mendatangkan dosa apabila dinikmati. Walau bagaimanapun pengharaman tersebut bersifat sementara sebelum ditarik balik. Selepas penarikan tersebut, kopi kembali menjadi minuman kegemaran warga Rom.
Selepas itu tarikan kopi ini telah mula merebak secara meluas di Eropah. Selepas kemerosotan Islam, orang Eropah berjaya mendominasi tanaman dan pengeluaran kopi di seluruh dunia sehingga ke hari ini.
Kredit: Apa kata orang, coin.my