Menu berasaskan kari tidak akan lengkap tanpa daun kari sebagai penambah aroma hidangan. Beberapa helai sahaja sudah memadai untuk membangkitkan keenakan sesuatu hidangan.
Buat mereka yang mempunyai pokok daun kari di rumah, tidak menjadi masalah kerana boleh dipetik bila-bila masa sahaja apabila mahu diguna. Lain pula buat mereka yang tiada pokok, terpaksa membeli di pasaraya apabila mahu memasak.
Tapi setiap kali membeli daun kari, mana mungkin hanya beli setangkai dua kerana kebiasaannya dijual seikat. Jadi sudah tentu banyak lebihan daun kari apabila selesai memasak. Jika salah cara menyimpannya, daun kari akan menjadi kering dan akhirnya dibuang begitu sahaja.
Emma Zam berkongsikan petua untuk menyimpan daun kari agar tahan lama dan aroma kekal segar macam baru dipetik. Jom lihat perkongsian penuh olehnya di bawah.
“Hi semua, selamat duduk rumah tebang pokok kari daripada dibuang baik simpan. Jemur dah kering masuk toples (balang). Nak masak cekup je, bau kekal sama.”
1. Daun kari dicuci bersih dan kemudian dijemur di bawah cahaya matahari.
2. Bila sudah kering, boleh simpan dalam bekas kedap udara. Bila nak masak, ambil sahaja.
Warganet turut berkongsi tips tambahan sepanjang proses menjemur daun kari tersebut.
Sumber: Emma Zam