Baru-baru ini, CEO dan pengasas bersama Grab, Anthony Tan menyamar menjadi seorang rider GrabFood. Tindakan itu berjaya mendapat perhatian daripada media.
Anthony Tan sebelum ini pernah berkongsikan pengalamannya yang cuba menjadi penghantar makanan dengan berjalan kaki. Kali ini, dia mencuba sekali lagi dengan menunggang basikal pula.
Anthony Tan turut menceritakan bahawa semasa penyamaran itu dia bersama-sama dengan Lim, seorang rider GrabFood yang berpengalaman. Turut berkongsikan penilaiannya sepanjang penyamaran itu.
Menurut Anthony Tan, permulaan penyamaran itu tidak bermula dengan baik apabila dia terlupa untuk membuang tempat duduk bayi di belakang basikal untuk memberi ruang kepada beg GrabFood yang digalasnya. Beliau juga terlupa untuk memasang batang logam ke dalam beg menyebabkan beg tidak dapat ditutup dengan rapat.
Semasa proses pengambilan makanan pelanggan pula berjalan dengar lancar kerana berjaya menemui kedai dengan cepat. Dia juga memeriksa jika makanan dibungkus dengan baik dan hanya perlu menunggu kira-kira tiga minit sahaja untuk satu pesanan.
Antara cabaran yang dihadapi Tan sebagai rider adalah apabila dia tidak tahu di mana dia harus memarkir basikal, tambahan pula ketika itu hujan sedang turun.
Tan berjaya menghantar empat pesanan dalam masa kurang 2 jam dan turut berterima kasih kepada Lim kerana telah memberi tunjuk ajar.
Beliau turut mengagumi Lim, seorang bapa yang sanggup membanting-tulang dan bertungkus lumus menghantar 20 hingga 30 pesanan sehari demi menyara keluarga.
Di akhir perkongsiannya itu, Anthony Tan turut mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa yang sentiasa melakukan terbaik untuk keluarga.
Sumber: Mothership