Sejak semalam viral berkenaan dengan seorang warga emas yang gigih meniaga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan demi mencari sesuap nasi. Namun ada desas desus yang mengatakan bahawa warga emas yang dikenali dengan nama Che munah Che Man ini bukanlah individu yang susah malah masih menerima bantuan daripada beberapa pihak berwajib.
Hal tersebut sudah dijelaskan oleh suaminya, Abdullah Jusoh. Menurutnya, isterinya itu memang suka menjaja asam keping di Pasar Tani dan Pasar Minggu selain ke pasar besar Kota Bharu. Menjaja di pasar sememangnya sudah menjadi rutin Che Munah sejak dia berusia 16 tahun lagi.
Tambah Abdullah lagi, walaupun sudah dilarang namun isterinya itu tetap pergi juga. Che Munah akan menaiki teksi untuk ke Kota Bharu manakala untuk ke Pekan Selising dia akan meminta bantuan penduduk untuk menghantarnya.
Hampir setiap hari Che Munah akan keluar menjaja kecuali pada hari Rabu. Dia akan pulang ke rumah pada jam 12 tengah hari. Menurut Abdullah lagi, disebabkan mereka tidak mempunyai telefon bimbit jadi mereka tidak tahu akan kisah isterinya yang tular. Dia hanya mengetahui tentang isu viral ini setelah dikunjungi beberapa pihak pagi kelmarin.
Sebelum ini, kisah isterinya pernah juga tular dan mereka akui banyak menerima bantuan menerusi akaun bank isterinya itu. Berikutan itu, sejak Oktober lalu mereka membuat keputusan untuk tidak menggunakan kad bank dan hanya membuat buku simpanan sahaja.
Isterinya itu menjaja kerana hobi dan mungkin kerana keadaan mata isterinya yang separuh buta dan berpakaian tidak terurus itu menyebabkan dia disalah anggap oleh segelintir pihak. Abdullah juga turut menafikan mereka tidak cukup makan, malah isterinya sering membeli makanan di kedai makan atau Abdullah sendiri yang akan memasak.
Berikutan itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh, Wan Nor Hayati Wan Husain mengesahkan bahawa Che Munah ini menerima Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM350 sebulan sejak 2014. Namun selepas kerajaan mengumumkan kenaikan bantuan pada Januari tahun ini, Che Munah mendapat bantuan sebanyak RM500 sebulan. Selain itu, dia juga menerima bantuan bakul makanan daripada JKM.