Ikan goreng merupakan antara hidangan yang sangat ringkas dan menyelerakan. Walaupun ringkas tak semua tahu cara yang tepat untuk menggoreng ikan agar rasanya sedap. Nak dapatkan ikan yang sedap selepas digoreng bukan sekadar bergantung kepada jenis ikan, kesegarannya dan bahan perapan sahaja.
Namun ia juga bergantung kepada cara menggorengnya. Nak tahu cara menggoreng ikan yang tepat agar ikan tak melekat, rangup dan sangat juicy? Jom kita ikuti cara yang dikongsikan oleh Fatimah Salim ini.
Ramai pasti tahu yang rasa ikan goreng dipengaruhi oleh jenis ikan, kesegarannya dan bahan perapannya. Tahukah anda rasa ikan goreng juga disumbangkan oleh cara memasak serta kawalan suhu semasa memasak?
Masalah yang sering timbul ialah untuk mendapatkan hasil gorengan yang cantik (tidak melekat pada kuali) dan ‘juicy’ (rangup di luar dan lembap di dalam). Mari kita selamai sains disebalik menggoreng ikan ini.
Ikan melekat pada kuali kerana permukaan ikan basah yang bersentuhan dengan permukaan kuali. Semasa mengoreng, api akan memanaskan kuali dan minyak.
Ikan yang bersentuhan dengan permukaan kuali lalu menyebabkan ikan terus mengering pada kuali dan menyebabkannya melekat. Keadaan ini akan menyukarkan proses menterbalikkan ikan dan sebahagian daripada isinya akan melekat pada kuali.
Untuk mengelakkan perlekatan ikan dengan permukaan kuali, panaskan minyak secukupnya (agak-agak sehingga SEDIKIT berasap) kemudian masukkan ikan.
Disebabkan tidak larut bersama, perlanggaran antara molekul-molekul minyak dengan molekul-molekul air pada ikan akan menghasilkan bunyi gorengan yang kuat.
Minyak yang cukup panas ini akan menyebabkan air pada permukaan ikan meruap dengan cepat dan menjadikannya kering dan rangup. Maka, permukaan ikan yang bersentuhan dengan kuali tidak akan melekat.
Permukaan ikan yang rangup tadi akan menjadi selaput penghalang untuk air di dalam ikan daripada meruap seterusnya mengekalkan kelembapan (juiciness) dalam isi ikan.
Ikan haruslah dimasak SEKEJAP sahaja kerana struktur kimia ikatan protein isi ikan adalah longgar jika dibandingkan dengan daging ayam dan lembu. Maka ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak.
Memasak ikan terlalu lama akan menyebabkan lembapan dalam isi ikan meruap, seterusnya menjadikan isinya keras. Ini sesuai untuk mereka yang sukakan ikan yang rangup dan garing.
Nota: Mereka yang menggunakan kuali kali lekat tidak akan mengalami masalah perlekatan semasa menggoreng kerana teknologi selaput pelinciran telah membantu.
Kalau ikut cara yang tepat menggoreng ikan yang dikongsikan oleh Fatimah Salim ini pasti puas hati. Suami dan anak-anak pasti puji sebab kita goreng ikan sedap. Jadi selepas ini, jangan lupa ye menggunakan teknik-teknik di atas ini.
Kredit: Fatimah Salim Via Makmal Makanan