Biskut merupakan kegemaran ramai rakyat Malaysia, terutamanya untuk sarapan pagi atau minum petang. Enak untuk dicicah bersama segelas Milo atau susu, ia sudah menjadi kegemaran ramai. Dengan pelbagai pilihan jenama biskut di Malaysia, makanan itu masih lagi terkenal.
Namun, baru-baru ini orang ramai dikejutkan dengan penemuan oleh Persatuan Pengguna Hong Kong yang telah menjalankan pemantauan terhadap 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut yang dijual di pasaran Hong Kong.
Hasil pemantauan itu mendapati kesemua produk mengandungi karsinogen atau dikenali sebagai glisidol dan akrilamida yang boleh menyebabkan pertumbuhan kanser dalam sel serta tisu hidup.
Akrilamida dan glisidol merupakan bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan bahan makanan, namun bahan tersebut boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses bersesuaian.
Antara produk yang tersenarai dalam pemantauan tersebut adalah biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia dan menjadi kegemaran rakyat.
Memandang serius akan isu ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan verifikasi di premis yang terlibat bagi menjalankan pemantauan setelah produk jenama-jenama tersebut dikesan mengandungi karsinogen.
Pada peringkat awal sisasatan, BKKM mendapati premis kilang adalah pemegang sijil Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) KKM.
BKKM dalam kenyataan, “Premis pengeluaran makanan di Malaysia wajib melaksanakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP), HACCP dan lain-lain sebagaimana ditetapkan oleh Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, “Pelaksanaan PJKM dapat mengenalpasti risiko bahaya seterusnya mengurangkan atau menyingkirkan pencemaran makanan” pada Jumaat.
Namun, menurut ahli kimia, Mas Faiz, biskut-biskut tersebut masih lagi selamat untuk diambil oleh orang ramai atas beberapa sebab. Seharusnya tidak perlu cepat panik.
Buat sementara waktu, isu ini masih lagi di bawah pemantauan KKM dan BKKM. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat konklusi sendiri supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak yang terlibat.
Kredit: Consumer Council Hong Kong, Twitter Mas Faiz, Utusan Malaysia,
Baca Juga: Rider Mesej Pelanggan Maklum Status Halal Kedai, Jawapan Pelanggan Buat Netizen ‘Berang’!