Ubi kayu atau ubi rebus merupakan antara makanan yang sangat popular bagi masyarakat Melayu lebih-lebih lagi pada musim hujan. Malah menurut beberapa sumber, ubi kayu ini menjadi makanan utama bagi masyarakat Melayu pada waktu ketika dahulu. Pastinya ia merupakan makanan tradisional yang tidak pernah lapuk dek zaman.
Malah sehingga kini ia tetap menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia. Selain direbus dan dimakan bersama-sama dengan kelapa parut dan sambal bilis, ubi kayu ini juga sangat enak apabila dibuat goreng berempah. Mesti ramai antara anda yang tidak pernah mencuba ubi rebus goreng berempah kan?
Nak cuba buat? Jom kita ikuti perkongsian resepi ubi rebus goreng berempah yang dikongsikan oleh Kamarul Ariffin ini.
Cara Buat Ubi Rebus Goreng Berempah Yang Enak Dan Mudah
Bahan-bahan:
- 2 batang ubi (macam dalam gambar)
- 6 biji bawang merah ros
- 3 ulas bawang putih
- 2 sudu besar biji ketumbar
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- Garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Kupas ubi kayu dan potong lebih kurang 4 inci kemudian direbus.
- Sementara tunggu ubi empuk, kita sediakan perapan yang digunakan untuk beri rasa lebih nikmat kepada ubi kita nanti. Hiris bawang merah dan bawang putih. Biji ketumbar pula ditumbuk.
- Tumbuk pakai lesung. Letak garam secubit dua. Serbuk kunyit masuk sekali. Mohon jangan gunakan serbuk ketumbar kerana ubi kita akan jadi gelap. Tak cantik.
- Apabila ubi dah empuk, toskan seketika dan biarkan sejuk. Kemudian potong 4 tapi jangan kecil sangat.
- Kemudian campurkan bawang merah, bawang putih dan bumbu tumbuk tadi ke atas ubi. Kemudian gaulkan semua bahan ni dengan tangan. Biarkan tangan kuning tak apa. Jangan otak kuning.
- Kemudian perap ubi dalam 10 hingga 20 minit. Biar ubi serap sikit rasa rempah tu. Kalau nak ubi ni pedas, letak serbuk cili sikit.
- Dah perap, masa untuk menggoreng. Gunakan api yang kuat. Goreng sampai ubi jadi keemasan dan bawang jadi rangup. Oleh kerana ubi ni dah rebus, tak risau dia keras.
- Siap untuk dihidangkan. Dijamin luar rangip tapi dalam empuk berlemak. Siap ada bau harum bawang goreng dan ketumbar.
Mudah sahaja kan nak buat ubi rebus goreng berempah ini. Memang rangup dan sedap sangat. Kalau anda belum pernah lagi mencuba, memang wajib cuba kali ini. Confirm lepas ni bila tiba musim ubi kayu, menu ini pasti akan menjadi keutamaan.
Selamat mencuba!
Kredit: Kamarul Ariffin Nor Sadan Via Makmal Makanan
Baca juga: Nah Cara Mudah Rebus Ubi Kayu Agar Empuk Dan Sedap! Musim Hujan Ni Kena Sangat Makan Ubi Kayu Rebus!