Burger merupakan makanan segera yang sangat sedap dan digemari oleh kebanyakan dari kita. Lebih-lebih lagi apabila burger tersebut dari restoran makanan segera yang sangat popular seperti McDonalds, KFC, A&W dan lain-lain restoran.
Pastinya ramai yang sudah mengetahui bahawa McDonalds merupakan antara restoran atau jenama makanan segera yang paling popular di dunia. Di mana-mana sahaja pasti ada restoran makanan segera ini. Menurut beberapa sumber lebih 31 ribu cawangan McDonalds yang ada di dunia ini.
Berkenaan dengan burger dan juga McDonalds ini, baru-baru ini ada kejadian yang menggelikan berlaku kepada pelanggan yang membeli burger McDonalds. Pelanggan tersebut sangat terkejut apabila mendapati burger yang dibeli mengandungi makhluk berlendir iaitu lintah.
Kejadian yang berlaku di Stoke, Staffordshire di London itu dihadapi oleh Aimee Welch dan Josh Bakin yang mana membeli burger tersebut di McDonalds Festival Park. Burger yang dibawa pulang untuk dimakan di rumah itu telah mengejutkan Bakin apabila tiba-tiba menemui makhluk tak diundang ketika baru sahaja membuka bungkusan.
Menurut Bakin, benda berlendir tersebut berada di atas keju dan daun salad. Pada mulanya dia menyangka itu adalah acar. Namun apabila melihat dengan teliti, dia mendapati ia adalah seekor lintah. Ekoran itu, Bakin dan Aimee nekad untuk kembali semula ke cawangan restoran tersebut dan memaklumkan kepada pihak restoran.
Selain memulangkan kembali burger dan lintah, Bakin juga diberikan pampasan sebanyak RM29 ( 5 pound) oleh pengurus restoran berkenaan. Manakala menurut jurucakap McDonalds pula, hasil siasatan yang dijalankan oleh mereka mendapati tiada bukti yang menunjukkan burger berkenaan tercemar dengan bendasing di restoran mereka.
Jurucakap McDonalds juga memaklumkan bahawa pihak restoran sudah pun menghubungi Bakin dan Aimee bagi meminta maaf dan menyelesaikan kejadian tersebut.
Tak dapat bayangkan jika kejadian seperti ini berlaku kepada diri sendiri. Mahu bertahun-tahun tak makan burger. Nasihat untuk anda, selepas ini sebelum nak ‘ngap’ tu seeloknya tengok dahulu. Bukan tidak percaya dengan pihak pengurusan makanan di Malaysia namun bimbang sekiranya ada bendasing seperti ini.
Baca juga: Beli Burger Tapi Roti Dah Berkulat, Siap Tumbuh Cendawan Lagi Buat Wanita Ini Bengang!